PESERTA yang menyertai kayuhan malam RHB Lekas Highway Ride. -FOTO RHB
PESERTA yang menyertai kayuhan malam RHB Lekas Highway Ride. -FOTO RHB
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kayuhan malam terbesar di Malaysia terus mendapat sambutan hangat, malah ia turut berjaya menarik lebih 30 buah negara menyertai RHB Lekas Highway Ride 2023 malam tadi.

Penganjuran edisi kelapan itu menyaksikan seramai 6,000 peserta mengambil bahagian dalam 10 kategori dipertandingkan bermula di Plaza Tol Kajang Selatan dan berakhir di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) E21.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, penganjuran kali ini membuktikan statusnya sebagai 'perhimpunan' terbesar penunggang basikal termasuk dari dalam mahupun luar negara.

"RHB Lekas Highway Ride 2023 bukti dan perpaduan semangat kita. Bagaimanapun, ia bukan sekadar mencapai jumlah peserta yang paling ramai tetapi inklusif itu yang mendefinisikan kita.

"Edisi tahun ini juga memperkenalkan kategori baharu untuk penunggang basikal wanita bagi kategori veteran, sekali gus mengingatkan kita bahawa semangat tidak mempunyai batas," katanya.

Antara negara luar yang turut sertai dari Jerman, Jepun, Perancis, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Brunei.

Penyertaan menggalakkan itu memberikan gambaran jelas lebih ramai peserta akan mengambil bahagian dan tidak mustahil mampu melebihi angka 7,000 pada edisi kesembilan tahun depan.

Keunikan saingan kali ini turut melibatkan penyertaan penuh inspirasi 20 Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam kategori 22 kilometer (km).

Malah, penganjur juga memperkenalkan sesi pushbike untuk kanak-kanak berumur antara dua hingga lapan tahun sebagai permulaan bagi memupuk minat mereka dalam sukan berbasikal.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai berkata, pihaknya amat berbangga kerana kembali menjadi penaja lokasi bagi acara kayuhan berbasikal lebuh raya nombor satu pada sebelah malam itu.

"Apa yang lebih bermakna adalah penganjuran kali ini turut membabitkan penyertaan 20 peserta OKU menghayati semangat perpaduan dan menguji had mereka berlumba di sepanjang lebuh raya.

"Saya juga ingin merakam penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memastikan penganjuran ini berjalan lancar. Tahniah kepada semua peserta kerana berkongsi cita-cita menyempurnakan acara ini," jelasnya.

10 kategori dipertandingkan adalah 120km terbuka lelaki dan wanita; 120km terbuka veteran lelaki; 120km terbuka korporat; 78km terbuka lelaki dan wanita; 78km terbuka veteran lelaki dan wanita serta 78km dewasa lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 2:22 PM