SEPANG 09 OCTOBER 2023. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bergambar bersama atlet yang menyertai Sukan Asia Hangzhou 2022 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
SEPANG 09 OCTOBER 2023. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bergambar bersama atlet yang menyertai Sukan Asia Hangzhou 2022 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Sukhairi Thani


Sepang: Jawatankuasa Road to Gold (RTG) akan bermesyuarat selepas pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat 'bedah siasat' prestasi atlet di Sukan Asia Hangzhou bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk pakar dari Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, wakil dari NSSU dijadual hadir pada bulan depan untuk membuat penelitian dan selepas itu, mesyuarat jawatankuasa RTG akan bersidang bagi membuat keputusan seterusnya.

"Seperti saya katakan, perkara ini akan dibincangkan dalam jawatankuasa berkenaan selepas penelitian dibuat, jadi kita kena tunggu," kata Hannah kepada media pencapaian Sukan Asia Hangzhou, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

"Dalam sukan pasti ada menang dan kalah. Yang kalah tidak bermaksud atlet kita tak bekerja keras dan (contoh) dalam pasukan karate pun, semua atlet berlatih dalam waktu sama dan tempoh latihan sama tetapi (dalam pertandingan) mereka jumpa lawan berbeza, jadi kita kena terima, ada kalah dan ada menang."

Kontinjen negara menamatkan kempen Sukan Asia Hangzhou di tangga ke-14 dengan membawa pulang 32 pingat iaitu enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa sekali gus melepasi sasaran 27 pingat disasarkan sebelum berlepas ke Hangzhou.

Ogos lalu, Penyelaras program, Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan keputusan penambahan atau pengguguran atlet dalam program RTG hanya akan dibuat selepas Sukan Asia Hangzhou melabuhkan tirainya.

Stuart pada ketika itu berkata, Sukan Asia Hangzhou menjadi ruang buat pengurusan RTG menilai prestasi semasa atlet memandangkan temasya berkenaan turut menawarkan beberapa slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Belanjawan 2024 yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini, Hannah berkata, beliau akan membentangkan pencapaian kontinjen negara dalam mesyuarat kabinet minggu ini.

"Saya akan bentangkan pencapaian pasukan Malaysia dan seperti perbandingan selalu dilakukan, kita sentiasa membandingkan kejayaan negara kita dengan negara lain. Kita tak boleh tengok hanya dari segi pingat, kita juga kena tengok pelaburan.

"Berapa duit dibelanjakan oleh setiap negara?. Setiap negara berbeza (perbelanjaan), itu sebab kalau diliaht dari 'track record' kali ini, semua yang berjaya mereka memerlukan pendedahan di luar negara, latihan yang berbeza dan ini memerlukan duit.

"Jadi, itulah sebabnya kita nak bangunkan industri sukan secara bersama... ada duit ada hasil," kata Hannah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:32 PM