PENEMBAK India kuasai lapang sasar di Hangzhou. FOTO Agensi
PENEMBAK India kuasai lapang sasar di Hangzhou. FOTO Agensi
Agensi

Hangzhou, China: Dua penembak muda India, Palak Gulia dan Esha Singh menguasai lapang sasar menembak di Sukan Asia Hangzhou apabila memenangi pingat emas dan perak dalam acara 10 meter (m) pistol udara, hari ini.

Kedua-duanya mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan dengan Palak yang baru berusia 17 tahun menamatkan saingan di tempat pertama, manakala Esha di tangga kedua.

Penembak Pakistan, Talat Kishmala sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa selepas gagal mencabar dua atlet India itu.

Ia adalah pingat pertama buat Palak dalam pertandingan antarabangsa selepas dia mula mewakili negaranya sejak tahun lalu. Malah, dia turut memperbaharui rekod Sukan Asia dengan membidik 242.1 mata.

Esha pula meraih pingat perak kedua selepas menduduki tangga kedua 25m pistol pada Rabu lalu.

Kem India terus cemerlang apabila turut memenangi pingat emas dalam acara lelaki akhir berpasukan 50m rifle tiga posisi dengan turut meleburkan rekod dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 2:28 PM