PREM Kumar (kanan) mempertahankan gangsa bagi acara kumite lelaki Bawah 55kg, hari ini.
PREM Kumar (kanan) mempertahankan gangsa bagi acara kumite lelaki Bawah 55kg, hari ini.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Peserta Hong Kong, Lau Mo Sheung Grace muncul juara kategori Kata senior wanita selepas menewaskan atlet Jepun, Shimizu Kiyou di final Kejohanan Karate Asia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Perlawanan disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas berkenan berangkat merasmikan kejohanan itu.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim serta Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Sementara itu, sandaran utama negara, S Prem Kumar yang bersaing dalam acara kumite Bawah 55kg mengulangi pencapaian edisi lalu di Uzbekistan dengan memenangi gangsa.

Atlet berusia 29 tahun itu bermula dengan cemerlang sehingga mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada peserta Iran, Behnam Dehghanzadeh.

Prem gagal mengekalkan rentaknya apabila terlalu mengejar mata dan menjadi kelebihan kepada lawannya yang kini berada di ranking ke-99 dunia, sekali gus menyaksikan pemenang pingat emas Sukan Sea Kemboja 2023 itu sekadar berpuas hati meraih gangsa.

Satu lagi pingat gangsa negara diraih Zakiah Adnan, 20 dalam acara kumite wanita bawah 61kg yang melakar kejutan pada penampilan kedua kejohanan berprestij itu.

Dia mengatasi beberapa nama besar di peringkat Asia, sekali gus permulaan yang baik dalam kerjayanya.

Sementara itu, dua lagi wakil negara, Sree Sharmini Chandran dan S Geerijaieswaran Pillai terkandas di pusingan awal.

Kali terakhir wakil negara meraih pingat emas dalam kategori kumite bawah 55kg menerusi R Puvaneswaran ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 8:19 PM