LYDIA dijangka menyertai Kejohanan Golf Maybank 2023, Oktober depan. FOTO AFP
LYDIA dijangka menyertai Kejohanan Golf Maybank 2023, Oktober depan. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemenang dua pingat Sukan Olimpik dan pemain golf wanita nombor tiga dunia, Lydia Ko antara pemain terbaik yang akan menyertai Kejohanan Golf Maybank 2023 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), dari 26 hingga 29 Oktober depan.

Pihak penganjur turut menamakan penyertaan pemain nombor empat dunia, Ruoning Yin; pemenang Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dua kali, Lilia Vu serta Allisen Corpuz yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Lydia, 26, adalah pemain golf termuda untuk memenangi Jelajah LPGA pada usia 15 tahun, satu rekod yang tercatat sehingga 2017, selain menang 19 jelajah LPGA dengan kekurangan dua mata sahaja sebelum layak untuk dimasukkan ke dalam 'Hall of Fame' LPGA, yang mampu beliau capai dengan dua lagi kemenangan pada musim biasa atau dengan satu kejohanan besar.

Pemain berasal dari New Zealand yang menang pingat perak di temasya Olimpik Rio 2016 dan gangsa di Tokyo 2020 itu adalah pemenang dua kali Anugerah Pemain Terbaik Rolex iaitu pada 2015 dan 2022.

Sementara itu, pemain AS yang sedang meningkat naik, Lilia, 25, yang memenangi LPGA Honda Thailand dan Kejohanan Chevron, tahun ini, selain menang tiga Jelajah Epson, akan menyertai kejohanan yang tidak dianjurkan selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19.

Ruoning pula pada usia 20 tahun telah meletakkan dirinya sebagai pencabar dalam golf wanita, selepas memenangi kejohanan PGA Wanita KPMG dan Terbuka LA Implant DIO, dan menjadi pemain dari China kedua untuk menang Jelajah LPGA selepas Shanshan Feng, manakala Allisen kini berkedudukan keenam dunia.

Keempat-empat pemain terbaik dunia itu akan menyertai 64 lagi pemain Jelajah LPGA untuk Piala Tiger itu bagi merebut hadiah keseluruhan AS$3 juta (kira-kira RM13.7 juta), dengan sepuluh lagi tempat disediakan untuk pemain Malaysia dan Asean.

Kelly Tan yang dua kali mewakili negara di Sukan Olimpik, akan mengetuai cabaran wanita negara pada kejohanan yang diiktiraf LPGA itu.

Duta Maybank berusia 20 tahun itu adalah pemain terbaik Malaysia yang menamatkan penyertaan di Jemputan Dow Great Lakes Bay Invitational 2022 di tempat kedua dan memenangi Florida's Natural Charity Classic 2019.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, penyertaan pemain golf wanita terbaik dunia ke kejohanan itu, menunjukkan komitmen Maybank untuk meraikan sukan pada paras tertinggi.

Penganjur turut mengumumkan harga tiket termasuk Pas Harian RM38 (untuk kemasukan hanya pada Khamis dan Jumaat), Pas Hujung Minggu RM68 (untuk Sabtu dan Ahad), atau Pas Musim RM88 (untuk keseluruhan empat hari).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 7:23 PM