HANNAH (dua dari kiri) bersama Zamzamzairani (kiri), Khairussaleh (dua dari kanan) dan Sean Pyun bersama trofi kejohanan, FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
HANNAH (dua dari kiri) bersama Zamzamzairani (kiri), Khairussaleh (dua dari kanan) dan Sean Pyun bersama trofi kejohanan, FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas enam tahun menyepi, saingan Jelajah LPGA (Persatuan Golf Profesional Wanita) kembali menemui peminat golf tempatan dengan menawarkan hadiah keseluruhan AS$3 juta (RM13.19 juta).

Kejohanan kali ini dianjurkan syarikat perkhidmatan kewangan terbesar Malaysia, Maybank pada 26 hingga 29 Oktober 2023 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

Kejohanan Maybank 2023 akan membabitkan 68 pemain golf profesional wanita, dengan 10 peserta tambahan khusus untuk pemain negara dan Asia Tenggara untuk memburu hadiah lumayan termasuk hadiah bagi pemenang 'hole-in-one'.

Menurut Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Khairussaleh Ramli berkata, kejohanan itu bakal membabitkan pemain ranking dunia termasuk pemain golf sensasi wanita negara, Kelly Tan.

"Kami sudah tiga tahun tak ada kejohanan golf ini, ini sukan popular di Malaysia, jadi kami di Maybank membuat keputusan untuk membawa Jelajah LPGA ke Malaysia kali ini.

"LPGA ini adalah kejohanan bagi pemain profesional dan pemain terbaik di dunia. Kami ingin bangunkan sukan golf di Malaysia dan memberi inspirasi buat rakyat di negara ini untuk menyaksikan perlawanan ini.

"Kejohanan ini membabitkan hadiah wang tunai AS$3 juta. Ini adalah satu usaha berterusan dari pihak kami," katanya.

Ujar Khairussaleh, saingan kali ini tertumpu kepada LPGA kerana golf wanita ramai pengikut di seluruh dunia khususnya di rantau ini.

"Kalau kita tengok pemain di ranking teratas dunia adalah dari Asia Tenggara dan Asia. Ramai pemain terkemuka dari negara di rantau ini akan mengambil bahagian dan Malaysia mempunyai pemain terbaik seperti Kelly.

"Kami akan sediakan 10 tempat untuk pemain wanita dari rantau ini dan lima daripadanya Malaysia," katanya pada majlis perasmian, semalam.

Kejohanan itu akan menampilkan 68 pemain golf profesional dan turut mengetengahkan kebanyakan daripada 50 pemain golf wanita terbaik dunia.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merasmikan majlis berkenaan memuji usaha Maybank dengan menjalankan kerjasama dengan LPGA dalam menyokong sukan wanita, sekali gus dapat menyediakan peluang kepada pemain untuk bersaing di peringkat tertinggi.

"Kita boleh merapatkan jurang kesaksamaan gender antara lelaki dan wanita dalam sukan di negara kita dan seterusnya memberi tumpuan kepada beberapa bakat ulung dalam sukan ini," ujarnya.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Bisnes LPGA Asia, Sean Pyun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 2:30 PM