AMBER membuat persiapan menjelang perlumbaan ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai. FOTO AZRUL EDHAM
AMBER membuat persiapan menjelang perlumbaan ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai. FOTO AZRUL EDHAM
Ferzalfie Fauzi


Nilai: Selepas cemerlang membawa pulang tiga pingat emas di Piala Trek Antarabangsa Hong Kong, pelumba wanita negara, Amber Yong berhasrat meneruskan momentum itu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) kategori remaja, yang membuka tirai hari ini.

Menurut pelumba kelahiran Selangor itu, ACC adalah medan terbaiknya untuk terus menonjolkan diri dan kali ini dia meletakkan sasaran untuk meraih kedudukan podium dalam setiap acara disertai.

"Ini adalah penampilan kali kedua di ACC Remaja. Di India tahun lalu, saya meraih perak dalam acara pecut berpasukan dan gangsa untuk pecut individu.

"Bagaimanapun, di Hong Kong (Piala Trek Antarabangsa Hong Kong) bulan lalu, saya berjaya meraih tiga emas. Ia sesuatu yang mengejutkan kerana saya tidak meletakkan sasaran emas," katanya.

Ujar pelumba berusia 18 tahun itu, jika tidak berjaya meraih pingat sekali pun di ACC kali ini, dia mahu sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di kedudukan lima terbaik dalam acara pecut berpasukan 500 meter (m) ujian masa, keirin dan pecut individu.

"Saya mahu menggunakan pengalaman di pentas antarabangsa sewaktu di Hong Kong sebagai persiapan terbaik ketika bersaing di sini.

"Sewaktu penampilan pertama ACC di India saya berjaya meraih tempat kedua dalam acara pecut berpasukan dan menamatkan saingan tempat keempat keirin. Pada kejohanan di Malaysia ini, saya meletakkan untuk menaiki podium.

"Saya akui bukan mudah untuk menjelmakan pingat emas di ACC ini kerana ada pencabar hebat seperti Korea Selatan, China dan beberapa pelumba dari negara lain yang saya tak pernah berdepan lagi.

"Jadi, saya tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka dan perlu bekerja keras sekiranya mahu menewaskan mereka di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 4:46 PM