Phnom Penh: Jurulatih kumite negara, Tamer Abdelraouf Mourssy berharap anak buahnya mendapat pengajaran berharga selepas membiarkan emas pasukan lelaki terlepas daripada genggaman mereka pada final Sukan Sea Kemboja.

Malaysia tewas 3-2 kepada Vietnam pada perlawanan akhir selepas berada di kedudukan untuk memenangi pingat emas namun kesilapan dilakukan muka baharu, G Kathish pada perlawanan ketiga dan S Prem Kumar yang lebih berpengalaman dalam pertarungan terakhir, mencetuskan rasa kurang senang Tamer.

Kathish dan Prem masing-masing mendahului lawan mereka tetapi hilang fokus pada penghujung pertarungan kerana terlalu cepat meraikan kejayaan sebelum akhirnya tewas.

Tamer diminta meninggalkan gelanggang oleh pengadil kerana kerana menunjukkan reaksi marah terhadap Prem pada perlawanan akhir dan jurulatih Mesir yang berbadan tegap itu mengakui bahawa dia melanggar peraturan.

"Saya sudah memberitahu Prem dan yang lain untuk tidak meraikan kejayaan sehingga perlawanan tamat tetapi mereka tidak melakukannya. Mereka meraikan terlalu cepat apabila mendahului lawan dan tidak fokus pada saat-saat akhir.

"Ia sangat sengit, kami adalah pasukan yang lebih baik, percayalah...saya tidak mudah memberi pujian, saya baru dua bulan bersama pasukan. Atlet masih belum memahami cara saya.

"Mereka meraikan terlalu cepat, saya sudah berkali-kali memberitahu mereka supaya jangan terlalu beremosi. Perlawanan masih berlangsung. Tapi tidak mengapa, ia satu pengajaran yang amat bermakna," kata Tamer yang kecewa selepas perlawanan.

REAKSI kecewa atlet pasukan karate Malaysia selepas tewas kepada Vietnam dalam acara akhir Karate Kumite Berpasukan Lelaki pada Sukan Sea Kemboja di Chroy Changvar Convention Center hari ini. FOTO Bernama
REAKSI kecewa atlet pasukan karate Malaysia selepas tewas kepada Vietnam dalam acara akhir Karate Kumite Berpasukan Lelaki pada Sukan Sea Kemboja di Chroy Changvar Convention Center hari ini. FOTO Bernama

Tamer berikrar anak buahnya tidak akan mengulangi kesilapan itu pada masa depan dan gembira pasukan itu berjaya melepasi sasaran tiga pingat emas apabila meraih empat emas.

C Shahmalarani menyumbang emas pertama (wanita bawah 50kg) untuk Malaysia diikuti Prem Kumar (lelaki bawah 55kg), H Sureeya Sankar (lelaki bawah 60kg) dan R Sharmendran (lelaki bawah 75kg).

Skuad negara turut membawa pulang gangsa menerusi Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (lelaki bawah 84kg), P Madhuri (wanita bawah 55kg), Siti Nur Azwani Nor Azli (wanita bawah 61kg) dan kumite berpasukan wanita.

"Atlet berjaya melepasi sasaran, Shahmalarani, Sureeya, Sharmendran beraksi dengan baik. Prem juga beraksi baik tetapi mungkin tidak fokus kerana ramai yang bercakap dengannya tetapi dia sepatutnya mengikut sahaja suara saya... mereka semua akan belajar daripada insiden ini.

"Mereka akan tahu bahawa air mata sangat berharga, Prem meminta maaf kepada saya atas kesilapan itu, tetapi lain kali dia tidak akan melakukan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 4:58 PM