MIRRA meraih kemenangan menewaskan Magda Linette. FOTO AFP
MIRRA meraih kemenangan menewaskan Magda Linette. FOTO AFP
AFP

Madrid: Mirra Andreeva yang akan meraikan ulang tahunnya yang ke-16 hari ini akan berdepan pemain nombor dua dunia Aryna Sabalenka di Terbuka Madrid mengakui: "Saya tidak rugi apa-apa."

Pemain remaja dari Russia itu yang berada di ranking 194 menang 6-3, 6-3 ke atas Magda Linette untuk mara ke pusingan keempat selepas menyingkirkan finalis Terbuka AS 2021, Leylah Fernandez dan pemain nombor 14 dunia, Beatriz Haddad Maia di awal kejohanan itu.

"Saya tidak sangka berada di sini dan bermain dengan Aryna pada pusingan 16," kata Mirra.

"Saya tidak begitu terkejut dengan tahap saya kerana saya tahu cara saya bermain di gelanggang tetapi sudah tentu, saya tidak menyangka melangkah sejauh ini."

Mirra menewaskan Magda, pemain ke-19 dunia, menang 2-0 di set pertama dan walaupun pilihan ke-17 itu bangkit memberi tentangan, pemain Russia itu sekali lagi berjaya mendahului 4-2.

Pemain muda itu sekali lagi mematahkan serangan di permainan pertama set kedua selain menukar mata akhir kedua kepada kemenangan sebelum menewaskan Magda.

Mirra yang layak atas tiket wild card menjadi pemain ketiga berusia 15 tahun menang perlawanan WTA 1000 dalam undian utama apabila menewaskan Leylah Rabu lalu.

Dia menamatkan saingan sebagai naib juara di kejohanan remaja Terbuka Australia pada Januari manakala Aryna meraih gelaran Grand Slam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 12:18 PM