RAZIM (empat dari kanan) bersama wakil persatuan sukan pada program antirasuah pengurusan bantuan dana kerajaan kepada badan sukan 2022 di Putrajaya, hari ini.
RAZIM (empat dari kanan) bersama wakil persatuan sukan pada program antirasuah pengurusan bantuan dana kerajaan kepada badan sukan 2022 di Putrajaya, hari ini.
Syazwan Msar


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membantu Pesuruhjaya Sukan (PJS) melakukan siasatan terperinci terhadap lebih 1,000 persatuan sukan yang 'hilang' di negara ini.

Malah, SPRM akan memastikan persatuan sukan yang hilang secara tiba-tiba tanpa khabar berita itu akan disiasat segera apabila menerima laporan daripada PJS untuk tindakan susulan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, setiap persatuan yang hilang atau gagal dikesan itu akan dipantau sama ada menggunakan dana dengan tujuan betul atau sebaliknya.

"Kena tengok persatuan berkenaan yang tak aktif, tetapi terima bantuan, duit itu ada dalam akaun persatuan atau sudah hilang.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan daripada PJS. Jika maklumat dikongsikan, SPRM akan lakukan siasatan untuk mengetahui dana dibelanjakan sewajarnya atau tidak," katanya pada sidang media sempena program antirasuah pengurusan bantuan dana kerajaan kepada badan sukan 2022 di pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Selain itu, Razim mengakui berlakunya ketirisan dana membabitkan persatuan sukan, sekali gus akan memastikan perkara terbabit tidak menjadi barah di negara ini.

"Ingin saya tegaskan di sini, SPRM tidak akan berkompromi dalam soal integiriti dan jenayah rasuah.

"Tindakan tegas berdasarkan undang-undang akan diambil jika berlaku sebarang bentuk salah laku jenayah rasuah, salahguna kuasa mahupun penyelewengan oleh mana-mana pihak dalam pentadbiran terutama dalam setiap badan sukan dalam negara ini," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan timbul tanda tanya membabitkan 1,860 persatuan sukan di negara ini yang didapati 'hilang' tanpa khabar berita selepas didapati gagal menghantar laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) untuk tempoh tiga tahun berturut-turut kepada PJS.

Jumlah terbabit agak mengejutkan kerana semua persatuan itu tidak pernah menghantar laporan yang dilihat cukup penting untuk mengetahui perkembangan terkini mereka terutama membabitkan aliran dana diterima daripada kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 5:07 PM