SYAFIQ dan Gabriel bersama pingat perak dimenangi mereka. FOTO Bernama
SYAFIQ dan Gabriel bersama pingat perak dimenangi mereka. FOTO Bernama
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Kontinjen Malaysia meraih satu lagi pingat perak pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, hari ini menerusi acara terjun di Pusat Akuatik Sandwell.

Pingat naib juara ketiga itu dihadiahkan gandingan Muhammad Syafiq Puteh-Gabriel Gilbert Daim selepas muncul naib juara bagi acara 3 meter papan anjal seirama.

Kejayaan mereka itu boleh dianggap sebagai satu kejutan berikutan kedudukan mereka bukan pilihan selain kehadiran gandingan utama, Ooi Tze Liang-Chew Yiwei.

Gandingan Syafiq-Gabriel berjaya memenangi pingat perak itu selepas mengumpulkan 376.77 mata menerusi enam terjunan.

Emas acara ini menjadi milik gandingan Anthony Harding-David Jack Laugher dari England dengan mengumpulkan 438.33 mata manakala gangsa dimenangi Samuel Fricker-Li Shixin daripada Australia dengan catatan 374.52 mata.

Dalam pada itu, Tze Liang-Yiwei hanya mampu menduduki tempat kelima dan terakhir.

Dua pingat perak kontinjen negara sebelum ini dimenangi atlet angkat berat, Erry Hidayat dan skuad ping pong wanita.

Setakat tengahari ini secara keseluruhannya kontinjen negara sudah mengumpulkan tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 8:21 PM