ISMAIL Sabri berkata kelonggaran itu dibuat selepas penilaian risiko oleh Kementerian KKM dan MKN. FOTO Ihsan Facebook Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL Sabri berkata kelonggaran itu dibuat selepas penilaian risiko oleh Kementerian KKM dan MKN. FOTO Ihsan Facebook Ismail Sabri Yaakob
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penantian perit ribuan pengusaha pusat sukan tertutup dan terbuka akhirnya berakhir apabila kerajaan mengumumkan kebenaran untuk sektor itu kembali beroperasi bermula esok.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi lampu buat semua aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan.

Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 semalam, menyaksikan kerajaan bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor itu dengan syarat ia terpakai buat individu yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Beliau berkata, kelonggaran itu dibuat selepas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang sudah lengkap divaksin. Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu, di samping pematuhan SOP.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa oleh KKM serta MKN, dan akan berkuat kuasa pada 10 September 2021," katanya.

Menerusi laporan khas Arena Metro semalam, ramai pengusaha mengeluh apabila terpaksa gulung tikar ekoran penutupan sektor itu beberapa kali sejak tahun lalu.

Malah, ada yang terpaksa berhutang keliling pinggang termasuk mendapatkan bantuan kewangan dari ceti haram bagi membayar sewaan kedai dan gaji pekerja, sedangkan operasi masih ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:29 PM