Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sasaran pingat untuk kontinjen negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo akan diumumkan Isnin ini.

Jelas beliau, sasaran itu akan diumumkan selepas mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN). Reezal bagaimanapun memberi bayangan sasaran itu perlu lebih realistik dan sederhana mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada persiapan atlet.

"Atlet tak mampu untuk menjalani latihan dan menyertai kejohanan yang membolehkan mereka mencapai tahap kompetitif. Jadi memang ada kesan. Malah (Lee) Hup Wei (atlet lompat tinggi) sebagai contohnya dapat menyertai satu kejohanan saja. Ia memberi kesan bukan saja kepada atlet negara kita tapi atlet negara lain juga," katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Reezal, pencapaian empat perak dan satu gangsa di Rio 2016 sememangnya paling terbaik dalam sejarah penyertaan kontinjen negara.

"Tapi kali ini kita perlu sederhana dalam meletakkan sasaran. Kita perlu imbangkan kemampuan dan keadaan semasa," katanya.

REEZAL ketika sidang media di  Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. FOTO Aswadi Alias
REEZAL ketika sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. FOTO Aswadi Alias

Sementara itu, kelompok kedua kontinjen negara akan berlepas ke Olimpik Tokyo dalam kumpulan lebih ramai bermula Sabtu ini.

Ia dijangka membabitkan lebih 40 orang diketuai Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib diikuti atlet badminton, gimnastik, memanah, renang dan terjun.

Turut serta dalam kumpulan itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann selain jurulatih, pegawai dan anggota pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN).

Mereka dijangka berlepas menaiki pesawat MH9118 jam 10.50 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

Sebelum ini, skuad pelayaran negara yang terdiri daripada empat atlet dan tiga jurulatih menjadi kumpulan pertama dari kontinjen Malaysia berlepas ke Tokyo pada 8 Julai lalu untuk bertanding dalam temasya yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini. Malaysia diwakili 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 jenis acara merangkumi 10 jenis sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:04 PM