ZIYAD layak ke temasya Paralimpik Tokyo.
ZIYAD layak ke temasya Paralimpik Tokyo.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majoriti atlet olahraga meluahkan rasa tidak sabar untuk beraksi di Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia pada 10 dan 11 April ini di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Apa tidaknya, selepas setahun tanpa sebarang pertandingan kompetitif, GP Malaysia itu adalah medan terbaik untuk menilai graf prestasi masing-masing selain menjadi medan pemilihan atlet ke temasya Sukan Sea Vietnam hujung tahun ini.

Bagi atlet lontar peluru negara yang sudahpun melayakkan diri ke temasya Paralimpik Tokyo Ogos ini, Ziyad Zolkefli berkata, pertandingan itu sememangnya sesuatu dinantikan selepas kali terakhir beraksi di Kejohanan Simulasi Disember lalu.

"Setakat ini memang tiada sebarang perkembangan. Bercakap mengenai prestasi juga sukar untuk digambarkan di mana kedudukan saya ketika ini. Tambahan pula saya baru dapat berlatih di Bukit Jalil selepas memilih untuk berlatih sendiri sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0 yang lalu.

"Itu sebabnya saya tak sabar untuk beraksi di GP nanti bagi melihat kedudukan prestasi saya selain turut mengharapkan dapat diberi peluang menyertai lebih banyak lagi pertandingan selepas ini," katanya yang melakukan jarak balingan 17.15 meter ketika Kejohanan Simulasi yang lalu.

Bekas juara dunia itu yang berada dalam misi mempertahankan pingat emas acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik Tokyo Ogos ini, berdepan cabaran untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya itu di sebalik gangguan pandemik Covid-19.

Atlet berusia 30 tahun yang juga dalam misi untuk cuba memecahkan rekod dunia pada temasya di Tokyo itu mengakui agak gusar sekiranya prestasinya merudum ekoran tidak berupaya menyertai sebarang saingan kompetitif di peringkat antarabangsa, sejak 2019.

Sehubungan itu beliau berharap, jurulatih Majlis Paralimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan membantunya mencari kejohanan sesuai untuk disertai agar impiannya untuk 'memanaskan badan' sebelum turun berjuang di Tokyo nanti kembali bersinar.

Ziyad mengesahkan tempat ke Tokyo selepas merangkul pingat perak dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai dengan catatan 17.03 meter (m).

Beliau adalah pemegang rekod dunia kategori itu dengan catatan 17.29m ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 10:57 PM