McGregor (kanan) dalam salah satu aksi di MMA. FOTO Agensi
McGregor (kanan) dalam salah satu aksi di MMA. FOTO Agensi
Agensi

London: George Foreman menggesa Conor McGregor supaya meninggalkan UFC untuk memberi tumpuan kepada tinju ketika jaguh Ireland itu dicabar menewaskan Manny Pacquiao.

McGregor yang tewas kepada Floyd Mayweather pada penampilannya di gelanggang sekitar 2017, dalam perancangan untuk berdepan Pacquiao pada tahun ini.

Namun selepas tumbang kepada Dustin Poirier sekembalinya ke gelanggang UFC pada Januari lalu, perancangan untuk pertarungan tinju yang menjadi tumpuan utama berdepan PacMan masih menjadi tanda tanya.

McGregor, 32, ketika ini dikatakan memberi tumpuan membalas dendam pertarungan berdepan Poirier, 32, yang pernah ditewaskan pada 2014, dengan dua pertarungan semula dirancang pada musim panas nanti.

Bagaimanapun legenda tinju, Foreman - juara heavyweight tertua dalam sejarah pada usia 45 - berpendapat lebih baik McGregor memberi tumpuan pada perlawanan berdepan Pacquiao.

Menurutnya: "Ia agak sukar buat McGregor menerimanya tetapi dia lebih hebat ketika bertumbuk berbanding dalam pertarungan MMA.

"Saya lebih gemar melihat dia bertarung dalam tinju.

"Saya fikir jika dia bertarung dengan Pacquiao, dia mungkin dapat menewaskan lawannya - undang-undang bagus, lebih 10 pusingan, McGregor boleh menewaskannya.

"Dia sudahpun menyesuaikan diri dengan tinju, dia tidak lagi mampu beraksi baik dalam MMA.

"Sememangnya Pacquiao adalah petinju yang bagus, tetapi McGregor berpeluang menewaskannya dalam pertarungan itu."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:44 PM