Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Radhawa. FOTO File NSTP
Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Radhawa. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu mengharapkan atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa kekal fokus dan lebih bersemangat dalam usahanya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Menurutnya, kejayaan Nauraj memperbaharui rekod kebangsaan dalam dewan dan meraih tempat kedua pada Kejohanan Dalam Dewan dan Padang Vienna, Austria, awal pagi semalam seharusnya mampu menjadi suntikan semangat buat atlet berusia 29 tahun itu.

"Ini adalah keputusan yang positif. Namun, harus diingatkan ini adalah kejohanan dalam dewan," katanya.

Nauraj yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 27 Januari lalu melakukan lompatan 2.20 meter (m) di Stadium Dusika, Autria dan keputusan itu membolehkan dia menamatkan saingan di tempat kedua di belakang atlet Jerman, Tobias Potye yang muncul juara dengan catatan 2.26m.

"Cabaran sebenar dia adalah saingan kejohanan di luar dewan terutama untuk dia melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Saya harap dia akan terus bekerja keras dan kekal fokus untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik," kata Muthu.

Wakil tuan rumah, Lionel-Afan Strasseryang berada di tempat ketiga dengan catatan 2.11m.

Catatan terbaru yang dilakukan pemenang pingat emas tiga kali Sukan Sea itu menyaksikan dia memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 2.19m pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Erdgas di Chemnitz, Jerman pada Februari 2019.

Nauraj juga adalah pemegang rekod bagi acara lompat tinggi kebangsaan dengan lompatan 2.30m yang dilakukannya ketika menyertai Kejohanan Terbuka Singapura pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 9:58 PM