MOHD Manshahar. FOTO NSTP
MOHD Manshahar. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad olahraga negara dinasihatkan untuk terus fokus menjalani latihan seperti biasa, walaupun Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia sah ditunda ke satu tarikh baharu, sebagai langkah keselamatan selepas tujuh atlet negara serta lima pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Ketua jurulatih skuad olahraga negara Mohd Manshahar Abdul Jalil mengakui, kebanyakan atlet berdepan tekanan emosi yang cukup tinggi, susulan pembatalan kejohanan yang sepatutnya diadakan pada bulan ini.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan, barisan kejurulatihan negara merangka program latihan khusus bagi memastikan atlet negara kekal kompetitif, di sebalik ketiadaan sebarang kejohanan sejak Mac tahun lalu.

"Jadi persediaan itu tetap kena teruskan, momentum kena kekalkan, sekiranya ada pertandingan dibolehkan nanti, sama ada tempatan atau luar negara, atas jemputan, faktor keselamatan itu boleh dijamin, kita akan ambil persediaan itu untuk memastikan atlet ini boleh bertanding," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Manshahar memaklumkan barisan kejurulatihan negara sentiasa memantau perkembangan terkini atlet negara, terutama dari sudut emosi dan mental bagi memastikan mereka tidak mudah berputus asa dan kekal fokus, untuk menghadapi kejohanan seterusnya walaupun tiada sebarang kejohanan dapat dijalankan ketika ini akibat Covid-19.

Baru-baru ini, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M Muthu mengesahkan, Kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadual bulan ini, berkemungkinan terpaksa diadakan pada satu tarikh baharu, susulan kes positif Covid-19 membabitkan beberapa atlet negara dan pegawai MSN.

Kejohanan itu sepatutnya diadakan dari 11 hingga 13 Disember lalu, namun terpaksa ditunda pada Januari 2020, susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Kali terakhir skuad olahraga negara menyertai pertandingan adalah kejohanan dalaman yang dianjurkan oleh KOM di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil pada November lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 2:06 PM