SKUAD Projek Khas Wanita Kebangsaan bakal sertai Piala Dunia Remaja Wanita 2022 di Afrika Selatan. FOTO MHC
SKUAD Projek Khas Wanita Kebangsaan bakal sertai Piala Dunia Remaja Wanita 2022 di Afrika Selatan. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan tidak panik, sebaliknya masih mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukan persediaan beraksi di Piala Dunia Remaja Wanita 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan, April depan.

Ketua jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, meskipun baru mengetahui mengenai perkara itu di saat akhir, beliau percaya masih sempat mempersiapkan pasukan.

Skuad negara dilihat mempunyai masa kira-kira dua bulan sahaja lagi untuk membuat penampilan kali pertama di pentas berpestij itu yang akan bermula 1 hingga 12 April depan.

"Peluang ini sememangnya amat bagus buat barisan pemain saya. Meskipun rata-rata mereka kurang berpengalaman, mereka cukup teruja dan tidak berasa gementar untuk beraksi di Piala Dunia.

"Pengalaman beraksi di Piala Asia baru-baru ini banyak membuka minda mereka dan mula dapat menepis perasaan gementar apabila bertemu pasukan lebih hebat.

"Dengan saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) pula akan berlangsung tidak lama lagi, pemain kebangsaan yang beraksi dengan kelab masing-masing diharap dapat meningkatkan prestasi permainan mereka.

"Saya juga akan melihat prestasi barisan pemain lain ketika saingan liga. Jika ada lagi pemain yang dilihat mempunyai potensi, peluang mereka untuk terpilih bersama skuad kebangsaan juga masih terbuka luas," kata Nasihin.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerusi satu kenyataan semalam memaklumkan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan akan menyertai kejohanan itu buat kali pertama sejak ia mula dipertandingkan pada 1989 di Ottawa, Kanada.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengemukakan tawaran kepada MHC berikutan terdapat satu slot kosong bagi benua Asia selepas Jepun membuat keputusan untuk menarik diri.

Malaysia dipilih untuk mengisi slot itu berdasarkan kiraan merit yang menyaksikan skuad negara berada di kedudukan kelima Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 2:56 PM