MOHD Nasihin.
MOHD Nasihin.
Sukan Harian Metro

Kuala Lumpur: Skuad khas hoki wanita tetap menjalani latihan seperti biasa dengan pemantauan ketat dilakukan oleh ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Nasihin berkata, sesi latihan yang dipantau secara atas talian itu penting bagi semua pemain untuk memastikan tahap kecergasan mereka tidak menurun apabila berlatih seperti biasa kelak.

Katanya, latihan yang diberikan tertumpu pada larian, skil hoki dan kecergasan. Semua pemain meneruskan latihan sepanjang mereka berada di rumah bagi memastikan kecergasan mereka berada di tahap optimum.

"Jadual latihan akan diberikan kepada pemain dua atau tiga kali seminggu untuk pastikan tahap kecergasan tidak merosot banyak ketika di rumah," katanya.

Dalam pada masa yang sama, Nasihin dengan bantuan daripada Insitutut Sukan Negara (ISN) turut memberi penekanan kepada keperluan diet pemakanan yang seimbang kepada barisan pemainnya.

Sementara itu, kalendar hoki negara terus suram kesan daripada penularan wabak Covid-19 yang mana beberapa kejohanan utama terpaksa ditangguhkan.

Antaranya penangguhan Liga Hoki Malaysia (MHL) sudah pasti memberi kesan mendalam kepada pemain yang menanti hampir setahun untuk memulakan saingan musim baharu yang sepatutnya bermula pertengahan bulan ini.

Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh pada 11 hingga 19 Mac depan dan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac turut ditangguhkan demi keselamatan dan kesihatan semua pemain.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 8:06 AM