ARTETA (kanan) cabar barisan pemainnya tewaskan Liverpool di Anfield. FOTO AFP
ARTETA (kanan) cabar barisan pemainnya tewaskan Liverpool di Anfield. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta mencabar Arsenal untuk menang pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.

The Gunners berkunjung ke Liverpool awal pagi Ahad ini dengan mengetahui kemenangan akan memastikan mereka di puncak carta pada perayaan Krismas.

Tetapi pelawat perlu menamatkan rentetan keputusan hambar sejak September 2012 jika mereka mahu mencapai kemenangan.

Sepanjang empat tahun membimbing Arsenal, Arteta berjaya membantu pasukan melakar kemenangan di Manchester United, Chelsea dan Tottenham, manakala musim ini mereka menewaskan Manchester City di Emirates.

"Kami sudah melakukannya di Old Trafford, Stamford Bridge dan banyak tempat lain di mana kami tidak melakar kemenangan selama bertahun-tahun.

"Ini adalah cabaran seterusnya, pergi ke sana (Anfield) dan menang. Jika anda ingin berada di atas, anda perlu pergi ke tempat itu dan menjadi dominan. Itulah yang kami akan cuba lakukan," katanya.

Arsenal mendahului 2-0 di Anfield tahun lalu sebelum mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

"Ia pastinya suasana yang hebat. Kedua-dua pasukan berada dalam momen yang sangat baik dan di kedudukan yang sangat baik.

Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sengit," kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 9:36 PM