KESEBELASAN utama skuad negara ketika bertemu Kuwait. FOTO IHSAN FAM
KESEBELASAN utama skuad negara ketika bertemu Kuwait. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Terima kasih anak muda atas pengorbanan anda. Kamu tidak bersalah, yang bersalah adalah badan induk yang tidak menyediakan ekosistem pertandingan pemain belia yang terbaik serta persiapan tidak serius."

Itu kritikan yang dilemparkan bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disifatkan gagal selepas skuad bawah 23 (B-23) tewas 1-2 kepada Kuwait dalam aksi terakhir Kumpulan D saingan Piala Asia B-23 di Qatar, malam tadi.

Malah, ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut dialami anak buah Juan Torres Garrido sepanjang kempen itu untuk berada di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Jelas Hasnizam, sikap tidak tegas badan induk itu terhadap kelab dan Persatuan Bolasepak Negeri (FA) menyebabkan skuad Harimau Muda ini pulang ke tanahair dengan catatan buruk.

"Pemain muda amat penting untuk masa depan, jika tidak menyemai dari sekarang bagaimana nak dapat hasilnya di masa depan.

"Perlu diingat pemain semakin bertambah, sebab program akar umbi semakin banyak. Selepas rasuah 1994, taburan pemain muda juga ramai itu kena faham," katanya di laman X.

Menerusi laporan muka belakang Arena Metro hari ini, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menggesa FAM perlu tampil lebih tegas dalam setiap keputusan diambil dengan meletakkan kepentingan negara melebihi segalanya.

Ketika saingan liga tempatan masih dalam tempoh pramusim, sepatutnya skuad kendalian Garrido boleh tampil dengan barisan pemain impian untuk mengharungi Piala Asia B-23 ini.

Sebaliknya tiga pasukan serantau khususnya Indonesia dilihat tidak berdepan masalah apabila bersikap tegas dalam mendapatkan khidmat sembilan pemain muda biarpun tonggal sama muncul sebagai pemain utama dalam skuad senior di Piala Asia Januari lalu.

Hasnizam turut menggariskan tiga penyebab kepada kegagalan skuad B-23 ini termasuk saingan liga pembangunan yang kurang kompetitif, jumlah perlawanan liga tempatan yang kurang dan persiapan pasukan yanh ala kadar.

"Tak guna bila ramai pemain di 'grassroots' tapi hala tuju untuk mereka tiada. Inilah punca kegagalan selama ini kerana liga kita (khusus liga pembangunan) yang kurang kompetitif dan efektif.

"Mentaliti bekerja perlu di ubah jika inginkan kemajuan dan jurulatih pasukan senior juga perlu beri peluang pada pemain muda beraksi.

"Bila bercakap tentang pertandingan dan perlawanan apakah jumlah itu cukup untuk pemain muda demi pembangunan dan tingkatkan kualiti mereka untuk Malaysia B-23?.

"Ini FAM kena fikir bukan syok sendiri buat KPI tanpa buat realistik dan realiti dalam anjuran pertandingan sendiri.

"Dengan itu sepatutnya FAM perlu buat persiapan lebih awal untuk B-23 dan perlu banyak perlawanan persahabatan dilakukan. Perlu cari dana melalui penaja untuk persiapan pasukan bukan hanya tagih pada kerajaan.

"Jadi pengurusan atasan kena lebih efektif bekerja dan lebih tegas mengajak ahli untuk minda bekerja," kata bekas pemain Johor dan skuad Olimpik 1995 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 12:26 PM