ALONSO pacu kecemerlangan Leverkusen musim ini.
ALONSO pacu kecemerlangan Leverkusen musim ini.
Reuters

Munich: Bekas kapten Bayern Munich Philipp Lahm yakin Bayer Leverkusen yang memburu gelaran Bundesliga pertama mereka akan menamatkan penguasaan 11 tahun Bayern Munich.

Lahm, pemenang Piala Dunia 2014 dan kini pengarah kejohanan untuk Euro 2024 mengagumi rekod tanpa kalah Leverkusen musim ini yang membolehkan mereka mengumpul 70 mata, 10 mata di depan pasukan di tangga kedua Bayern.

"Ada lapan perlawanan lagi dan jurang 10 mata sangat besar. Saya yakin Leverkusen akan muncul juara Jerman musim ini," kata Lahm.

"Saya tak fikir ia buruk kepada Bundesliga jika ada kelab lain selain Bayern menjadi juara. Musim lalu sangat menarik menyaksikan saingan sengit sehingga aksi terakhir yang cukup bagus untuk liga.

"Leverkusen pamer aksi mantap sejak permulaan musim dan mempunyai sedikit tuah yang menukar nasib mereka. Semua pemain mempunyai peranan dan itu ditekankan pengurusnya Xavi Alonso," tambahnya lagi.

Bayern yang memburu gelaran ke-12 berturut-turut menentang Borussia Dortmund dalam aksi "Der Klassiker" malam esok dan mereka berdepan tugas getir selepas beberapa tonggak mengalami kecederaan.

Jurulatih Thomas Tuchel dijangka meninggalkan skuad pada penghujung musim ini susulan prestasi tak menentu Bayern.

"Bayern perlu mencari jurulatih yang tepat untuk pasukan dan kelab. Jurulatih terakhir mereka hanya bertahan setahun setengah dan itu mengapa kesinambungan penting termasuk di peringkat pengurusan," kata Lahm dan dia tidak menolak sedia bekerja dengan Bayern pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 8:16 AM