AKSI Gudmundsson menjaringkan gol ketiga Iceland. FOTO Reuters
AKSI Gudmundsson menjaringkan gol ketiga Iceland. FOTO Reuters
AFP

Paris: Harapan Israel untuk mara ke Kejohanan Eropah buat kali pertama diranapkan Iceland selepas tewas 1-4 manakala Ukraine mencerahkan peluang ke pusingan akhir.

Susulan konflik dengan Hamas, perlawanan membabitkan Israel dipindahkan ke Budapest dan impian mereka untuk beraksi di kejohanan utama sejak Piala Dunia 1970 tampak menjanjikan harapan pada awal perlawanan.

Selepas setengah jam perlawanan, Daniel Leo Gretarsson menerima padah selepas menjatuhkan Eran Zahavi.

Penyerang veteran Israel itu menyempurnakan penalti dengan sepakan kencang menewaskan penjaga gol Iceland Hakon Valdimarsson.

Namun kurang 10 minit selepas itu, pemain Genoa Albert Gudmundsson menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang melencung masuk.

Iceland yang mara ke suku akhir Euro 2016, kemudiannya mendahului tiga minit sebelum rehat menerusi rembatan pemain tengah Arnor Ingvi.

Gudmundsson kemudian melengkapkan kemusnahan Israel menerusi dua lagi golnya pada babak kedua bagi membolehkan mereka menentang Ukraine pada Rabu depan untuk menentukan tempat ke pusingan akhir di Jerman.

Ukraine menyalakan impian mereka untuk layak ke Euro kali kedua berturut-turut selepas bangkit menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-1 di Zenica dengan jaringan kemenangan diperoleh hasil tandukan Artem Dovbyk ketika permainan berbaki dua minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 7:20 AM