CHEN Hoe akui musim baharu paling mencabar buat pasukannya.
CHEN Hoe akui musim baharu paling mencabar buat pasukannya.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jumlah kehadiran pemain import yang bertambah haruslah seiring dengan kualiti sekali gus akan meningkatkan lagi mutu Liga Malaysia (Liga M) di tahap lebih memuaskan.

Itulah yang ditegaskan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe yang menyaksikan pertambahan enam pemain import di atas padang (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dengan seorang di bangku simpanan merupakan satu cabaran baharu yang dilihat akan memberi kelainan kepada sesebuah kelab.

Menjadi tanggungjawabnya selaku jurulatih untuk menilai kualiti anak buah tidak kira pemain tempatan atau pun import dan beliau secara peribadi percaya perubahan itu akan memberi impak positif kepada peningkatan Liga M selepas ini.

"Ini perkara baharu dalam Liga M dan saya menyahut cabaran tersebut di mana sudah tentu ini akan beri peluang kepada pemain tempatan dan import untuk terus bersaing secara sihat."

"Pemain tempatan sudah tentu kena pastikan mereka mampu merebut kesebelasan utama dan kalau kelab mampu untuk dapatkan 10 pemain import juga, saya tiada masalah.

"Dan kalau kita dah ambil pemain import, tetapi mereka tidak boleh beri impak terbaik, saya kena guna pemain tempatan juga.

"Selain itu, saya percaya kemasukan ramai pemain import berkualiti mampu melonjakkan lagi kualiti permainan sekali gus akan lahirkan ramai pemain yang lebih kompetitif," katanya.

Selangor FC antara pasukan yang boleh mengikat 10 pemain import apabila bakal bersaing di pentas AFC iaitu AFC Champions League 2 (ACL 2).

Bercakap mengenai pasukan, Cheng Hoe tidak menolak musim yang mencabar untuk Selangor FC kali ini terutamanya selepas berjaya menjadi naib juara Liga Super 2023 musim lalu.

"Musim yang mencabar juga untuk pasukan sebab bukan sahaja kena fokus Liga Super tetapi kita juga bersaing di ACL 2.

"Sebab itu saya nak pemain kekal fokus dan juga memperbaiki prestasi individu selain fizikal juga penting untuk bersedia dengan musim begitu mencabar."

Selangor FC sudah memulakan latihan bersama barisan pemain secara rasmi bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 3:53 PM