SKUAD B-23 negara menjalani kem latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO ARKIB NSTP
SKUAD B-23 negara menjalani kem latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulakfli


Kuala Lumpur: Demi negara, beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) akan memberi kebenaran sekiranya pemain mereka terpilih mewakili negara di Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23), April depan.

Meskipun kejohanan di Doha, Qatar itu diadakan di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), pihak pengurusan melihat itu adalah peluang terbaik untuk pemain mendapatkan pendedahan di kejohanan tertinggi Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC (TFC) , Mohd Sabri Abas berkata, mereka sedia memberi kerjasama dan tiada masalah melepaskan pemain untuk membawa cabaran Harimau Muda di persada Asia.

"Kita akan lepaskan pemain kita. Lagipun kejohanan itu bulan April. Kita tiada halangan kerana ia untuk kepentingan negara dan untuk jangka panjang karier pemain kita juga," katanya.

Sementara itu, CEO Kuala Lumpur City (KL City) FC, Stanley Bernard turut senada untuk membenarkan pemain mereka beraksi di Piala Asia B-23 nanti.

"Liga akan bermula Mei nanti dan ini tidak bagus untuk pemain berada di tahap terbaik. Bila ada kejohanan kompetitif seperti ini, ia bagus dan pemain akan pulang semula kepada pasukan selepas tamat kejohanan.

"Fokus utama adalah untuk negara. Jadi bagi saya tiada masalah," katanya.

Selain TFC dan KL City, pihak pengurusan Perak FC turut menyatakan mereka tiada masalah sekiranya ada pemain yang akan dipanggil bersama pasukan negara.

Saingan Liga Super musim 2024/2025 hanya akan bermula pada pertengahan Mei nanti.

Beberapa pemain muda yang akan bersama pasukan kebangsaan nanti dapat membantu pemain itu sendiri berada di tahap terbaik dan turut memberi kebaikan kepada kelab yang diwakili pemain berkenaan.

Terdahulu Arena Metro melaporkan pengurus skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar menyedari pasukan Harimau Muda kemungkinan besar akan kehilangan beberapa pemain utama di Piala Asia B-23 nanti kerana ia diadakan di luar kalendar Fifa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 7:25 PM