PEMAIN Indonesia kecewa selepas tewas 1-3 di tangan Iraq, malam tadi. FOTO REUTERS
PEMAIN Indonesia kecewa selepas tewas 1-3 di tangan Iraq, malam tadi. FOTO REUTERS
Agensi

Al Rayyan: Netizen Indonesia menyerang akaun Instagram (IG) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas tidak berpuas hati dengan jaringan kontroversi Iraq ketika aksi Kumpulan D Piala Asia, malam tadi.

Iraq menang 3-1 ke atas Indonesia pada perlawanan di Stadium Ahmad Ali, namun jaringan kedua mereka menerusi Osama Rashid dalam masa kecederaan babak pertama didakwa ofsaid.

Pengadil, Igiz Tantashev dikecam peminat Indonesia kerana gagal mengesan kedudukan ofsaid pemain Iraq itu.

"Ofsaid. Wasit (pengadil) dan yang lainnya, jangan berharap untuk memimpin dengan baik malam ini," kata salah seorang peminat.

"Gol kedua itu, VARnya tidak berguna," kata seorang lagi.

"Kecewa dengan AFC dan kualitas wasit. Wacana pindah ke UEFA atau CONMEBOL bisa diwujudkan," kata peminat yang lain.

Iraq membuka jaringan menerusi Mohanad Ali pada minit ke-17 diikuti jaringan penyamaan Marselino Ferdinan (m-37).

Osama kembali meletakkan Iraq di depan sebelum Aymen Hussein memastikan kemenangan ketika permainan berbaki 15 minit.

Indonesia akan bertemu Vietnam pada Jumaat manakala Iraq akan berdepan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 11:44 AM