PEKAN gesa pasukan ambil langkah kukuhkan kewangan pasukan.
PEKAN gesa pasukan ambil langkah kukuhkan kewangan pasukan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Setiap pasukan yang berentap di Liga Malaysia (Liga M) musim depan harus bijak menyusun kewangan pasukan agar masalah tunggakan gaji tidak menjadi faktor utama selepas liga bermula.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, bermula musim depan, Liga M mengalami perubahan dan menjadi lebih panjang berbanding sebelum ini.

Oleh itu, katanya, jika ada pasukan tidak merangka perancangan dengan baik pasti pasukan berkenaan berdepan masalah dari segi pembayaran gaji kepada pemain kelak.

"Ini menjadi satu lagi persoalan bagi pasukan yang sering ada masalah isu gaji, kewangan dan sebagainya. Jangan bila liga bermula, gaji pemain sewaktu latihan awal atau pramusim belum dibayar dan ini menjadi isu serius. Bagaimana pula bila liga bermula nanti.

"Saya nampak timbul masalah lebih kepada pasukan yang tidak memandang serius dan tidak ambil langkah mengukuhkan kewangan pasukan mereka. Saya rasa ada pasukan berhutang sebelum liga bermula jika perkara seperti itu diabaikan," katanya.

Jelas Pekan, kontrak pemain perlu diberi perhatian kerana biasanya pasukan menandatangani mengikut tempoh liga.

"Musim hadapan liga bermula Mei sehingga April 2025 dan pasti segala persiapan pasukan bermula paling awal Januari depan. Perkara ini membuatkan pasukan harus ada dana mencukupi daripada musim sebelum ini," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan barisan pemain Liga Super berehat panjang pada musim depan selari transisi Liga M mengikut format kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan pihaknya melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga Malaysia sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024 selepas mengambil kira beberapa faktor.

MFL turut memaklumkan musim baharu bermula pada 13 Mei 2024 manakala tarikh pendaftaran pemain Liga M 2024/2025 bermula dari 3 Februari sehingga 26 April 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 5:49 PM