PASUKAN KL City giat menjalani latihan menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Gong Badak malam esok. FOTO FB KL City
PASUKAN KL City giat menjalani latihan menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Gong Badak malam esok. FOTO FB KL City
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berharap pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) ke pintas final Piala Malaysia agar mereka boleh balas dendam kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kata Khalid, kekalahan di final Piala FA sebelum ini dirasakan tidak adil buat mereka kerana bermain di gelanggng JDT yang sepatutnya ia diadakan di stadium berkecuali.

Namun Khalid akur kerana ketika itu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam proses pertukaran rumput dan perlawanan berkenaan sepatutnya diadakan di situ.

"Kita nak masuk final sekali lagi untuk kita balas dendam final Piala FA FA sebab main di JDT (Stadium Sultan Ibrahim). sangat tidak adil dan kita dah buat aduan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkenaan isu itu.

"KIta tidak gembira kerana final Piala FA tidak patut main di JDT dan sebab itu kita kalah 2-0," katanya ketika sidang media hari ini.

Akan tetapi Khalid berkata, semua itu bergantung kepada perlawanan separuh akhir kedua menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.

Peluang untuk KL City ke final masih terbuka biarpun mereka tewas 1-2 kepada TFC sebelum ini dan masih berbaki 90 minit lagi untuk mereka mencipta kejutan di hadapan penyokong lawan.

Jika KL City berjaya melangkah ke final, ia akan menjad aksi ulangan seperti 2021 di mana skuad Warga Kota berjaya menewaskan Harimau Selatan dan akan menjadi final kali keempat berturut-turut dalam tiga musim.

Terdahulu, ketika sedang media itu, Khalid menafikan pasukan KL City mengalami tunggakan gaji sehingga empat bulan.

Katanya, gaji pemain tetap di bayar cuma ada sedikit kelewatan hampir dua bulan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:59 PM