SKUAD TFC gigih  menjalani  latihan di padang Kompleks Sukan Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
SKUAD TFC gigih menjalani latihan di padang Kompleks Sukan Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menafikan pemain Terengganu FC (TFC) terpalit dengan isu tunggakan gaji menjelang saingan final Piala Malaysia bertemu Perak pada Sabtu ini di Stadium Shah Alam, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, isu berkenaan tidak timbul apatah lagi skuad TFC kini sedang melakukan persiapan rapi sebelum turun beraksi.

Beliau berkata, mungkin perkara itu sengaja diadakan pihak tertentu yang mahu 'menyerang' TFC yang kini berada dalam keadaan tenang dan bersiap-sedia.

"Setakat ini skuad Terengganu tidak ada masalah berkaitan gaji pemain, yang ada masalah tunggakan gaji sebelum ini ialah Terengganu City FC (TCFC) yang tidak berada di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), " kata Wan Sukairi yang kesal dengan dakwaan itu.

PENJAGA  gol TFC,  Mohd Suffian Ab Rahman  gigih berlatih.
PENJAGA gol TFC, Mohd Suffian Ab Rahman gigih berlatih.

TFC yang mara ke final selepas mengetepikan gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) di peringkat separuh akhir dengan agregat 3-2 berpeluang mencipta sejarah kali kedua merangkul piala berprestij itu selepas kali pertama menjuarainya pada 2001 selepas menumpaskan Perak 2-1.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi percaya prestasi pemain skuad Penyu itu tidak akan tergugat biarpun isu itu berlaku beberapa hari sebelum aksi final.

"Isu ini tidak akan melemahkan semangat pemain malah makin kuat dalam misi membawa pulang trofi berprestij itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 12:49 PM