Aksi suku akhir KLWSL
Aksi suku akhir KLWSL

Kuala Lumpur: Saingan bola sepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) 2023 menyaksikan wakil Kumpulan A, Setiawangsa Rangers FC (SRFC) mara ke separuh akhir apabila menewaskan Wangsa Maju City, 4-3 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan tamat masa penuh perlawanan dalam aksi suku akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Ahad.

Skuad Wangsa Maju City kendalian Shahira Aqilah Shamsul memulakan aksi babak pertama dengan agresif dalam usaha meraih jaringan awal dalam usaha memberi tekanan kepada pasukan lawan.

Namun, benteng SRFC yang diterajui Amy Misayza Khamis ampuh bertahan mematahkan segala ancaman Wangsa Maju.

Babak kedua menyaksikan SRFC mengimbangi perlawanan dan beberapa kali mengancam benteng Wangsa Maju menerusi ancaman yang dijelmakan penyerang mereka, Afira Nurtaqwa Ar Razi.

Tamat masa sebenar perlawanan dan tambahan, kedua-dua pasukan kekal buntu meraih gol dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

SRFC tidak memulakan sepakan penalti dengan baik apabila Priyanka Karunathan gagal menyempurnakan sepakan menewaskan Noorasyeimah Mohd Rashid di gawang Wangsa Maju.

Bagaimana pun, skuad kendalian Mohamad Norfaez Alias menyempurnakan kesemua baki empat sepakan tatkala, Wangsa Maju pula gagal menyempurnakan dua sepakan dan terpaksa akur dengan kemenangan SRFC.

Turut mengesahkan tempat ke separuh akhir ialah FC Spicegals yang menewaskan FC Japan Malaysia 5-1 manakala PJ Kita membenam Strenen FC, 6-0 dan Kelantan FA mengatasi Sunbears 2-0.

Aksi separuh akhir berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 8 Oktober.

Sementara aksi final dan penentuan tempat ketiga-keempat akan berlangsung di stadium sama pada 15 Oktober ini.

Perlawanan KLWSL

8 Oktober 2023

Separuh Akhir 1 : Kelantan FA mln FC Spicegals

Separuh Akhir 2 : SRFC mln PJ Kita FC

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 3:26 PM