BRUNO (dua dari kiri) mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pulapol Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM FC
BRUNO (dua dari kiri) mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pulapol Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Syiar Islam terus berkembang menerusi bola sepak apabila penyerang import PDRM FC, Bruno Suzuki sah bergelar seorang Muslim sebentar tadi.

Perkembangan itu dikongsi menerusi Facebook PDRM FC sebentar tadi yang memaklumkan pemain berasal dari Jepun itu kini saudara baru Islam.

Bruno yang juga penyerang kacukan Jepun-Brazil mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada awal pagi tadi bersamaan 15 Muharam 1445.

"Saudara Baru Islam, Bruno Suzuki…Alhamdulillah dengan syukur ke hadarat Allah S.W.T ingin mengumumkan bahawa pemain PDRM FC, Bruno Suzuki memeluk agama Islam.

"Dia mengucapkan dua kalimah syahadah bertempat di Masjid Pulapol KL pada awal pagi tadi bersamaan 15 Muharam 1445," kata PDRM FC dalam hantaran di laman Facebooknya.

Bruno mengucap di hadapan Ustaz Arif M Rajoli dan disaksikan oleh Komandan Pulapol Kuala Lumpur (KL) SAC Noor Hisam Nordin, Timbalan Komandan (Kepolisan AM) Pulapol KL, Superintendan. Razali Mohamed Shahid, barisan pengurusan, jurulatih dan pemain PDRM FC.

Mengikut rekod, Bruno sebelum ini beraksi bersama kelab Liga Thailand sebelum kembali ke kancah Liga Super dengan menyarung jersi PDRM FC.

Setakat ini, Bruno antara peledak berbisa PDRM FC dengan menjaringkan empat gol sepanjang musim ini selain turut membantu jentera serangan pasukan mencipta keputusan positif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 1:40 PM