INIESTA mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Kobe. FOTO AFP
INIESTA mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Kobe. FOTO AFP
Reuters

Tokyo: Bekas pemain tengah Sepanyol dan Barcelona, Andres Iniesta tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai destinasi seterusnya selepas pemenang Piala Dunia 2010 itu meninggalkan kelab Jepun, Vissel Kobe.

Pemain berusia 39 tahun itu, yang menjaringkan gol tunggal ketika Sepanyol memenangi kejuaraan menentang Belanda di Afrika Selatan pada 2010, menamatkan tempoh lima tahunnya di Jepun dengan penampilan selama 57 minit dalam keputusan seri 1-1 bertemu Consadole Sapporo.

Perlawanan itu adalah aksi kesebelasan utama pertama Iniesta dalam liga musim ini kerana kecederaan berturut-turut yang mengehadkan penglibatannya bagi kempen semasa kerana Kobe melancarkan cabaran untuk gelaran Liga J.

"Beberapa bulan kebelakangan ini adalah tempoh yang sangat sukar untuk saya dan mereka yang rapat dengan saya," kata Iniesta menitiskan air mata di Stadium Misaki Park.

"Saya mempunyai keinginan untuk bersara dan menutup karier saya semasa bermain di atas padang, dan saya mengambil langkah seterusnya mengikut emosi itu."

Iniesta menyertai Kobe, yang dimiliki oleh ahli perniagaan, Hiroshi Mikitani, pada musim panas 2018 dan membantu kelab itu merangkul trofi pertama mereka apabila mereka mengalahkan Kashima Antlers untuk menjulang Piala Maharaja 2019.

Musim berikutnya Kobe mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Asia dalam penampilan sulung mereka dalam kejuaraan benua dan pasukan itu kini menduduki tempat ketiga dalam Liga J, dua mata di belakang pendahulu Yokohama F Marinos.

Tiket untuk perlawanan itu habis dijual sejurus selepas Iniesta mengumumkan dia akan meninggalkan kelab itu.

"Saya datang ke sini pada 2018 untuk memenuhi janji menjadikan kelab ini besar," kata Iniesta.

"Saya rasa berjaya mencapai sasaran itu, dan saya memberikan aksi maksimum saya di dalam dan di luar padang. Saya harap anda berasa bangga seperti yang saya rasakan untuk kelab ini."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 11:54 AM