WALKER kurang mendapat tempat dalam skuad Guardiola sejak kebelakangan ini. FOTO AFP
WALKER kurang mendapat tempat dalam skuad Guardiola sejak kebelakangan ini. FOTO AFP
Agensi

London: Kyle Walker mengakui dia berdepan beberapa bulan yang sukar bersama Manchester City apabila kehilangan tempatnya dalam skuad utama kepada John Stones yang mempamerkan aksi memberangsangkan sebagai pemain tengah baru.

Namun Walker kembali disenaraikan semula dalam aksi separuh akhir Piala FA menentang Sheffield United minggu lalu dan dikekalkan ketika pertembungan kejuaraan menentang Arsenal pertengahan minggu ini.

Aksinya pada Rabu lalu itu membuka peluang untuk diturunkan pada perlawanan seterusnya ketika City berusaha untuk mengejar gelaran treble biarpun pemain berusia 32 tahun itu tidak dapat menafikan peranannya baru-baru ini.

Bercakap menjelang kunjungan penting ke Fulham esok, Walker memperincikan bagaimana perlu diturunkan bagi mengubat kekecewaannya dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini.

"Saya sentiasa berfikir kembali kepada asas - apa yang boleh membawa anda ke tempat yang menggembirakan anda untuk merebut kembali tempat saya sebab saya benci apabila tidak diturunkan.

"Adakalanya saya bergelut apabila apa yang diinginkan tidak berjalan lancar di luar daripada bola sepak dan ia menyebabkan prestasi buruk.

"Ini kerana ada ketika perkara di luar kawalan anda," tambah Walker. "Setiap daripada kami di sana fikir mereka harus bermain."

"Bila tidak dipilih saya rasa seperti paling teruk, saya benci tidak bermain. Tetapi dengan pengalaman dan umur saya fikir 'ok' saya akan meletakkan pengurus di sebelah dan berada di sini untuk pasukan."

"Dan saya akan pastikan pemain mendapat sokongan saya. Sama ada saya menjerit di bilik persalinan sebelum ini, atau seperti perlawanan terakhir musim lalu menentang Aston Villa."

Pep Guardiola, bagaimanapun mempunyai sebab mengapa Walker tidak terpilih dalam skuad City yang bangkit sejak musim sejuk sehinggalah sekarang.

City kini mengawal perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas pendahulu carta Arsenal Rabu lalu.

Kemenangan dalam perlawanan penting itu menyaksikan City yang juga penyandang juara kini semakin merapatkan jurang kedudukan dengan hanya dibezakan dua mata daripada Arsenal.

Malah, City mempunyai kelebihan apabila mereka mempunyai baki dua perlawanan dalam tangan yang bermakna mereka boleh tewas salah satu daripada baki tujuh perlawanan dan masih mampu untuk meraih gelaran ketujuh mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 10:02 AM