CONTE kecewa dengan prestasi tidak menentu dialami Spurs. FOTO Reuters
CONTE kecewa dengan prestasi tidak menentu dialami Spurs. FOTO Reuters
Agensi

London: Tottenham dilaporkan akan memecat Antonio Conte, minggu ini selepas pengendali itu menyelar kelab dan pemain.

Conte, 53, melepaskan geram terhadap pemain dan pengurusan selepas keputusan seri 3-3 menentang Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu.

Media Inggeris melaporkan sebahagian pemain Spurs mahu Conte dipecat dan pengerusi kelab, Daniel Levy bersedia melepaskan pengendali dari Itali itu.

Ryan Mason akan mengambil alih pasukan sehingga tamat musim ini.

Perlawanan pertama Spurs selepas rehat saingan antarabangsa ialah di Everton pada 3 April, dengan sasaran untuk mengekalkan kedudukan di tangga keempat EPL.

Tottenham kini dua mata di depan penghuni tangga kelima, Newcastle yang bermain kurang dua perlawanan.

Liverpool masih dalam saingan, manakala Brighton yang bermain kurang tiga perlawanan hanya tujuh mata di belakang.

"Saya rasa lebih baik kami mencari punca masalah, kami bukan seperti sebuah pasukan.

"Kami hanyalah 11 pemain yang masuk ke dalam padang. Saya lihat pemain yang mementingkan diri, pemain yang tidak mahu membantu satu sama lain dan tidak ada kesungguhan.

"Berbanding musim lalu, kami sekarang lebih teruk. Apabila anda tidak seperti satu pasukan, anda tidak akan ada peningkatan.

"Mereka tidak bermain untuk sesuatu yang penting. Mereka tidak mahu bermain di bawah tekanan, mereka tidak mahu tertekan.

"Cerita Tottenham adalah begini, 20 tahun di bawah pemilik itu dan mereka tidak pernah memenangi apa-apa, tetapi kenapa? Kesalahannya hanyalah untuk kelab atau setiap pengendali yang berada di sana.

"Saya lihat setiap pengurus yang Tottenham pernah miliki. Anda lebih sanggup mencemarkan reputasi pengurus dan pada masa sama mempertahankan yang lain.

"Saya cuba memendam situasi ini, tetapi sekarang, tidak, kerana saya tidak mahu melihat apa yang berlaku hari ini berulang.

"Semua orang harus bertanggungjawab. Bukan hanya kelab, pengendali dan barisan kejurulatihan.

"Pemain perlu terbabit dalam situasi ini kerana inilah masanya untuk berubah jika Tottenham mahu berubah.

"Mereka bola menukar pengendali, seberapa ramai yang mereka mahu, tetapi situasi ini tidak akan berubah. Percayalah," kata Conte.

Antara calon yang bakal menggantikan Conte musim depan ialah Mauricio Pochettino, Thomas Tuchel dan Zinedine Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 1:00 PM