KAPTEN United, Fernandes. -FOTO EPA
KAPTEN United, Fernandes. -FOTO EPA
AFP

Manchester, United Kingdom: Bruno Fernandes menegaskan hubungan pemain Manchester United dan penyokong adalah kunci kepada kebangkitan mereka untuk menewaskan Barcelona 2-1 dan mara ke pusingan 16 terakhir Liga Europa awal pagi tadi.

United ketinggalan apabila Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti di awal babak pertama, tetapi gol separuh masa kedua daripada pemain Brazil Fred dan Antony membolehkan mereka mencatatkan kemenangan dengan agregat 4-3 untuk Red Devils.

"Kepercayaan pasukan sentiasa ada dan kepercayaan peminat sangat mengagumkan," kata Fernandes.

"Mereka mendorong kami melalui detik-detik sukar untuk kemunculan semula yang hebat. Ia adalah keputusan yang hebat."

United kekal memburu trofi dalam empat pertandingan dan boleh menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi dalam perlawanan akhir Piala Liga menentang Newcastle pada Ahad ini.

"Peminat bersama kami dalam saat-saat paling sukar, musim ini kami sangat bagus kerana mereka sentiasa berada di belakang kami tetapi ini adalah sesuatu yang berbeza," tambah Fernandes.

"Anda boleh rasa antara mereka dan kami ada sesuatu yang istimewa, Old Trafford bangkit dan itulah sebabnya kami mendapat keputusan itu.

"Apabila kami mendapat gol tepat pada separuh masa kedua, kami tahu mereka akan berada di belakang kami."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 8:23 AM