PENGURUSAN Everton sahkan Lampard dipecat. FOTO AFP
PENGURUSAN Everton sahkan Lampard dipecat. FOTO AFP
AFP

London: Frank Lampard dipecat sebagai pengurus Everton tidak sampai setahun mengendalikan kelab Liga Perdana yang sedang bergelut itu.

Lampard dilantik Everton untuk menggantikan Rafael Benitez pada Januari 2022, tetapi bekas bos Chelsea meninggalkan pasukan di tangga ke-19 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Everton tewas 0-2 kepada lawan di zon penyingkiran West Ham, kekalahan kesembilan dari 12 perlawanan terakhir liga yang menyaksikan mereka menyamai mata dengan kelab tercorot Southampton.

Pemilik Everton Farhad Moshiri sebelum ini menyatakan sokongan kepada Lampard.

Tetapi kekalahan kepada West Ham yang disaksikan sendiri oleh pemilik itu selepas menghadiri perlawanan buat pertama kali dalam tempoh 14 bulan - sudah cukup untuk membuatkan legenda Chelsea itu dipecat.

"Kelab Bola Sepak Everton mengesahkan bahawa Frank Lampard dipecat daripada jawatannya sebagai pengurus pasukan utama hari ini," kata satu kenyataan.

"Semua orang di Everton ingin mengucapkan terima kasih kepada Frank dan kakitangan kejurulatihannya atas perkhidmatan mereka selama 12 bulan yang mencabar.

"Dedikasi dan komitmen Frank serta pasukannya sangat memberangsangkan sepanjang kehadiran mereka di kelab, tetapi keputusan perlawanan dan kedudukan dalam liga memaksa kami membuat keputusan sukar ini.

"Kelab sudah memulakan proses mendapatkan pengendali baharu dan akan memaklumkannya dalam masa terdekat," katanya.

Paul Tait dan Leighton Baines akan mengendali sesi latihan buat sementara waktu, dengan Everton akan bertemu pendahulu liga, Arsenal pada 4 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 9:39 AM