RASHFORD (tengah) meraikan jaringannya. FOTO AFP
RASHFORD (tengah) meraikan jaringannya. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berkata sukar untuk menghentikan kemaraan Marcus Rashford selepas penyerang England itu terus meledak gol selain menjadi arkitek kepada dua gol ketika melakar kemenangan 3-1 ketas Everton pada saingan Piala FA, hari ini.

Rashford membantu Antony meraih gol pembukaan minit ke-4 sebelum hantaran lintangnya menyebabkan pertahanan Everton, Conor Coady melakukan kesilapan dan menjaringkan gol ke gawang sendiri.

Rashford kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk satu lagi aksi cemerlang.

Pemain berusia 25 tahun itu kini sudah meledak 13 gol dalam semua pertandingan untuk United setakat ini dan berada di landasan yang tepat untuk mengatasi rekod terbaik semusim miliknya iaitu 22 gol pada kempen 2019-20.

"Dari minit pertama, Marcus menunjukkan keyakinan yang tinggi. Selama 90 minit dia menjadi ancaman buat pertahanan Everton.

"Sebagai penyerang, anda dinilai berdasarkan gol dan hantaran. Hari ini dia melakukan dua bantuan gol selain menjaringkan satu gol. Ia adalah sesuatu yang hebat.

"Kemahirannya mengawal bola sangat baik. Sebagai sebuah pasukan, kami cuba mencipta peluang untuknya supaya dia boleh membuktikan kemampuannya.

"Kemudian sukar untuk menghentikan kepantasan, teknik menggelecek serta ketepatannya.

"Dia mempunyai kemahiran yang hebat dan selain mempunyai kestabilan mental yang kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 1:46 PM