Bintang Korea Selatan, Son Heung-min sandaran pasukan negaranya. FOTO AFP
Bintang Korea Selatan, Son Heung-min sandaran pasukan negaranya. FOTO AFP
AFP

Doha: Son Heung-min mahu rakan sepasukan Korea Selatan melakar satu lagi kejutan dan menewaskan Brazil pada Isnin dalam saingan 16 terbaik Piala Dunia selepas aksi bersejarah menentang Portugal.

Skuad Korea Selatan seperti sudah tersingkir dari kejohanan sehingga pemain gantian Hwang Hee-chan meledak gol pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas Portugal yang sudah layak ke peringkat kalah mati di Qatar.

Kemenangan itu membolehkan wakil Asia itu mara dan berdepan Brazil, salah satu pasukan pilihan kejohanan.

Namun kapten Son, yang beraksi memakai topeng muka selepas menjalani pembedahan bulan lalu kerana mengalami keretakan pada bahagian mata kiri, berkata mereka belum bersedia untuk pulang awal buat masa ini.

Selepas melakukan kejutan dalam kejohanan, skuad Korea Selatan mengintai peluang melakukan satu lagi kejutan.

"Ini sesuatu yang hebat tetapi kejohanan kami belum berakhir.

"Kami sentiasa bercakap mengenai kemaraan dalam kelompok 16 terbaik kerana ia adalah objektif kami tetapi kini kami harus cuma pergi lebih daripada itu.

"Saya harap kami dapat melakukan satu lagi keajaiban," kata penyerang Spurs, Son yang menangis kerana tidak dapat menahan emosi selepas kemenangan dramatik ke atas Portugal.

Son turut membantu mencipta gerakan menghasilkan gol oleh Hwang selepas melakukan larian solo yang mengatasi pertahanan Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 8:26 PM