Jurulatih Ghana, Otto Addo (tengah) berbincang sesuatu bersama pasukannya ketika sesi latihan. FOTO AFP
Jurulatih Ghana, Otto Addo (tengah) berbincang sesuatu bersama pasukannya ketika sesi latihan. FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan: Jurulatih Ghana, Otto Addo tidak sabar menyambung kembali persahabatan yang sekian lama terjalin dengan bintang Korea Selatan, Son Heung-min apabila kedua-dua pasukan bertemu di Piala Dunia, esok.

Ghana yang tewas pada aksi pembukaan kepada Portugal, kini memburu mata pertama mereka dalam saingan Kumpulan H berdepan wakil Asia itu yang seri 0-0 berdepan Uruguay pada aksi pembukaan mereka.

Ghana menyedari ancaman yang hadir menerusi Son pada aksi yang berlangsung di Stadium Education City, di sini.

Jurulatih warga Ghana dan kelahiran Jerman itu mengendalikan skuad Bawah 19 tahun di Hamburg SV apabila Son tiba di kelab itu ketika berusia 16 tahun pada 2009 dan menunjukkan impak yang besar.

"Saya sangat meminati karakternya, dia seorang pemain yang bekerja keras. Saya yang mencadangkannya dalam pasukan utama," kata Addo.

Son menandatangani kontrak profesional pada usia 18 tahun dan kemudian menjadi pemain termuda Hamburg menjaringkan gol.

Dia kemudiannya menyertai Bayer Leverkusen pada 2013 dalam perjanjian perpindahan yang dilaporkan bernilai 10 juta Euro (RM46.6 juta).

Penyerang Korea itu sudah beraksi lebih daripada 200 perlawanan di Liga Perdana Inggeris buat Tottenham Hotspur dan menjadi tonggak penting dalam skuad kebangsaan negaranya selain bersaing di Piala Dunia ketiga buatnya.

"Dia menjadi sangat bagus kerana dia bekerja keras untuk berada pada tahap ini.

"Dia mempunyai masa depan yang sangat baik dalam karier dan saya gembira melihat dia berada dalam kesihatan baik dan boleh beraksi menentang kami tetapi kami akan menghalangnya bersama sebagai satu pasukan," tambah Addo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 7:24 PM