AKSI Mbappe menjaringkan gol di Stadium  Francois Coty,  Ajaccio. FOTO AFP
AKSI Mbappe menjaringkan gol di Stadium Francois Coty, Ajaccio. FOTO AFP
Reuters

Paris: Kylian Mbappe menjaringkan dua gol ketika Paris St Germain menang 3-0 di Ajaccio awal pagi tadi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Ligue 1 musim ini.

Perlawanan seimbang pada 10 minit pertama dengan Ajaccio lebih kerap menguasai bola manakala PSG menunggu peluang melancarkan serangan.

Ajaccio hampir di depan apabila rembatan dari sudut sukar Mounaim El Idrissy sedikit tersasar pada minit keempat.

Penjaga gol Ajaccio, Benjamin Leroy kemudian menghampakan Lionel Messi selepas menampan sepakan percuma bintang Argentina itu pada minit ke-13.

Mbappe akhirnya memecah kebuntuan selepas dia yang mendapat hantaran Messi menolak bola melepasi jangkauan Leroy untuk meletakkan PSG di depan.

PSG mempunyai beberapa peluang menambah jaringan namun tuan rumah bernasib baik apabila hanya dibolosi satu gol sebelum rehat.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan sehingga memaksa Leroy bekerja keras menyelamatkan gawang Ajaccio.

Namun Messi meledak gol kedua PSG dari jarak dekat pada minit ke-78 selepas mendapat hantaran Mbappe sebelum memperdayakan Leroy.

Mbappe menjaringkan gol keduanya lapan minit sebelum permainan tamat menerusi rembatan untuk melengkapkan kemenangan buat juara bertahan itu sekali gus meraih mata ke-32 daripada 12 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 7:54 AM