NEYMAR melambai tangan ketika tiba di mahkamah di Barcelona.
NEYMAR melambai tangan ketika tiba di mahkamah di Barcelona.
Reuters

Barcelona: Penyerang Brazil, Neymar tiba di mahkamah Barcelona hari ini bagi menghadapi perbicaraan dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan perpindahannya ke Barcelona dari Santos pada 2013, menurut saksi Reuters.

Pemain berusia 30 tahun itu yang kemudiannya berpindah ke Paris St Germain pada 2017 berpakaian serba hitam dan berkaca mata turut ditemani ibu bapanya.

Tuduhan ke atas Neymar dibuat firma pelaburan Brazil DIS yang dalam kenyataannya kelmarin mahu pemain itu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Neymar antara sembilan defendan termasuk ibu bapanya dan syarikat N&N yang menguruskan hal ehwal pemain itu dan ketiga-tiganya berdepan dakwaan rasuah dalam perniagaan.

Perpindahan Neymar menjadi tumpuan pada 2015 selepas DIS yang memiliki 40 peratus hak dalam aspek sukan pemain itu ketika di Santos tidak berpuas hati dan mahu disiasat.

Barcelona berkata kos perpindahan adalah 57.1 juta euro (RM234.98j) tetapi pendakwa percaya ia sekurang-kurangnya 83 juta euro (RM381j).

Kelab itu berkata mereka membayar 40 juta euro (RM183.95j) kepada N&N dan 17.1 juta euro (RM78j) kepada Santos yang mana 6.18 juta euro (RM28.42j) diberikan kepada DIS.

Tetapi DIS mendakwa Neymar, Barcelona dan kelab Brazil itu berpakat daripada menyatakan harga sebenar kos terbabit.

Antara defendan lain termasuk dua bekas Presiden Barca Sandro Rosell dan Josep Maria Bartomeu serta bekas pengurus Santos, Odilio Rodrigues Filho.

Neymar yang tiba di Barcelona hanya beberapa jam selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas Marseille dalam aksi Ligue 1 akan memberi keterangan sama ada pada 21 atau 28 Oktober ini tetapi belum dapat dipastikan akan hadir secara fizikal.

Perbicaraan dijangka tamat 31 Oktober dan jika bersalah Neymar berdepan hukuman dua tahun penjara dan denda 10 juta euro (RM46j).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 4:11 PM