PENYERANG Barcelona, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) hampir pasti menyertai Chelsea. FOTO REUTERS
PENYERANG Barcelona, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) hampir pasti menyertai Chelsea. FOTO REUTERS
Agensi

London: Chelsea semakin hampir untuk mendapatkan Pierre-Emerick Aubameyang dalam usaha mereka memantapkan jentera serangan.

Tawaran yang ditambah berjumlah £25 juta (RM131.57 juta) sudah memadai untuk membawa bekas kapten Arsenal berusia 33 tahun itu kembali ke England dari Barcelona.

Pengurus the Blues, Thomas Tuchel sebelum ini membimbing Auba di Dortmund dan mengharapkan penyerang berbisa untuk mengetuai jentera serangannya.

Khidmatnya diperlukan selepas Romelu Lukaku, 29, kini dipinjamkan ke Inter Milan manakala penyerang muda berusia 20 tahun, Armando Broja ditimpa kecederaan.

Kekalahan 0-3 di tangan Leeds menunjukkan keperluan menambah pemain untuk membantu Chelsea bersaing merebut gelaran musim ini, selepas mereka kehilangan lima mata daripada dua perlawanan terakhir.

Tuchel percaya, dia boleh mencungkil hasil terbaik daripada penyerang itu yang ditamatkan kontrak oleh Arsenal pada Januari lalu.

Pengurus Barcelona, Xavi perlu diyakinkan untuk melepaskan Aubameyang dan pemain itu setuju untuk kembali semula ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tidak lagi menjadi penyerang utama.

Penyerang berpengalaman, Robert Lewandowski tiba ke Nou Camp dengan yuran perpindahan £42.5 juta (RM223.67 juta) dari Bayern Munich dan baru-baru ini menjaringkan dua gol ketika menentang Real Sociedad.

Tetapi, sebarang rundingan mengenai bek kiri Chelsea, Marcos Alonso ke Barcelona adalah perkara berasingan.

Alonso, 31, mahu meninggalkan pasukan dan Tuchel sudah mendapatkan Marc Cucurella untuk mengambil alih tugas di posisi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:00 PM