PRESIDEN Barcelona, Joan Laporta (dua dari kiri) memperkenalkan penyerang Poland, Robert Lewandowski (tengah) pada sidang media di Fort Lauderdale, Florida. FOTO AFP
PRESIDEN Barcelona, Joan Laporta (dua dari kiri) memperkenalkan penyerang Poland, Robert Lewandowski (tengah) pada sidang media di Fort Lauderdale, Florida. FOTO AFP
AFP

Berlin: Pengurus Bayern Munich, Julian Nagelsmann berkata, memang 'gila' apabila Barcelona mampu menandatangani beberapa pemain baharu ketika jendela perpindahan, termasuk Robert Lewandowski dari juara Bundesliga itu.

Barcelona berdepan masalah kewangan sejak beberapa musim lalu, tetapi masih mampu menandatangani pemenang anugerah Pemain Terbaik Tahunan Fifa sebanyak dua kali, Lewandowski dengan harga 45 juta euro (RM203.98 juta).

Kelab Catalan itu turut menandatangani pemain sayap Brazil, Raphinha dari Leeds United dengan harga 55 juta euros (RM249.31 juta), selain membawa bek tengah, Andreas Christensen dan bekas pemain tengah AC Milan, Franck Kessie ke Camp Nou secara perpindahan percuma.

"Mereka membeli ramai pemain, saya tidak tahu bagaimana ia dilakukan," kata Nagelsmann pada sidang media di Washington ketika jelajah pramusim pasukannya di Amerika Syarikat (AS).

"Ia satu-satunya kelab di dunia yang tidak memiliki wang, tetapi mampu membeli pemain - bagi saya, ia gila.

"Mereka sudah menemui jalan penyelesaian. Saya tidak tahu bagaimana, tetapi ya, mereka memiliki skuad lebih baik berbanding musim lalu."

Bagaimanapun, Presiden Bayern, Oliver Kahn berkata, agak mustahil untuk mengukur keadaan kewangan di kelab lain.

"Saya menjangkakan Barca mengumpul banyak hutang. Tetapi, orang yang tahu jumlah sebenar adalah mereka di kelab itu sendiri," katanya.

"Jadi, kami harus mengamalkan kekangan apabila bercakap mengenai perkara itu. Mereka perlu tahu apa yang dilakukan."

Walaupun kontraknya akan tamat tahun depan, Lewandowski, 33, meninggalkan Bayern selepas menjaringkan 344 gol dalam lapan musim termasuk menjaringkan lebih 40 gol pada tujuh musim berturut-turut.

"Ia adalah perjanjian yang bagus untuk Bayern," kata Nagelsmann. "Memang sukar, dia menjaringkan banyak gol dan antara bintang utama Bayern.

"Tetapi, dia tetap akan meninggalkan pasukan, jika tidak musim ini, musim depan. Jadi, kami berdepan cabaran pada tahun berikutnya dan itu sebabnya rundingan itu tidak terlalu teruk untuk Bayern."

Bayern yang memenangi gelaran Bundesliga ke-10 berturut-turut pada musim lalu, sudah menandatangani penyerang Senegal, Sadio Mane dari Liverpool serta bek tengah Belanda, Matthijs de Ligt dari Juventus dan dua pemain Ajax, Ryan Gravenberch dan Noussair Mazraoui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 8:08 AM