RAHEEM Sterling. FOTO Agensi
RAHEEM Sterling. FOTO Agensi
Agensi

London: Bos Chelsea, Thomas Tuchel sudah menghubungi Raheem Sterling dan dijangka akan mengemukakan tawaran mencecah £60 juta (RM324 juta) untuk mendapatkannya.

The Blues berminat untuk menandatangani pemain sayap Manchester City itu pada musim panas ini dan merasakan boleh mendapatkannya berdasarkan kepada situasi semasa kontraknya.

Sterling, 27, hanya tinggal setahun kontraknya bersama City dan Chelsea percaya mereka mungkin dapat meyakinkannya untuk meninggalkan Etihad.

Menurut Telegraph, Tuchel telah mengadakan perbincangan dengan kem Sterling sebelum mengemukakan tawaran berkenaan.

Memasuki 12 bulan terakhir kontraknya, Sterling terbuka kepada semua pilihan tetapi mahu beraksi dengan kerap dalam usahanya mendapat tempat beraksi di Piala Dunia.

Pemain utama England itu berjaya menarik minat beberapa kelab terbesar Eropah. Barcelona dan Real Madrid juga sedang memantau situasinya.

Bagaimanapun Chelsea adalah kelab pertama yang dijangka akan mengemukakan tawaran kepada pemain berkenaan.

Chelsea dikatakan akan membuat bidaan pertama dengan menawarkan antara £50 juta (RM270 juta) sehingga £60 juta (RM324 juta) untuk mendapatkan bintang England itu.

Pemilik baharu The Blues, Todd Boehly dilaporkan telah memberi jaminan kepada Tuchel bahawa kelab itu akan mendapatkan enam pemain baharu pada jendela perpindahan pemain kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 8:17 PM