LEGENDA bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar meninggal dunia tengah hari tadi.
LEGENDA bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar meninggal dunia tengah hari tadi.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur "Arwah bagi saya seorang legenda sepanjang zaman yang tiada penggantinya."

Demikian penghormatan terakhir yang diberikan bekas pemain kebangsaan, Azraai Khor Abdullah buat legenda bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar yang menghembuskan nafas terakhirnya tengah hari tadi.

Berita pemergian Syed Ahmad cukup menyedihkan buat peminat bola sepak tempatan dan ia turut dirasai Azraai yang pernah bersahabat dengan Allahyarham.

Jelas Azraai, kelebihan penyerang negara itu adalah kelincahan dan teknik gelecekan selain gemar menjaringkan gol menerusi bola lencong.

"Kelebihan arwah dia punya teknik menggelecek dan kawalan bola yang cukup baik. Bagi saya tak ada lagi pemain seperti arwah dan saya anggap dia antara pemain terbaik sepanjang zaman dalam bola sepak negara.

"Disebabkan waktu itu banyak pertandingan, saya tak pernah bermain sekali dalam pasukan negara tetapi saya pernah beberapa kali bermain dalam Piala Maksak, di mana arwah ketika itu mewakili Jabatan Penjara.

"Bila saya dekati dia, memang arwah seorang penghibur dan mudah gemar membuat lawak. Waktu itu kira saya junior, tapi dia mudah didekati dan suka buat lawak bersama rakan-rakan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Bekas penyerang negara itu sebelum ini menderita kanser prostat tahap empat sejak beberapa tahun lalu.

Ketika diera kegemilangannya, Syed Ahmad adalah antara penyerang terbaik skuad negara pada era awal 1970-an.

Antara pencapaian cemerlangnya adalah ketika menjaringkan gol dalam aksi kelayakan di Seoul, Korea Selatan pada 1971 yang melayakkan Malaysia beraksi di Sukan Olimpik buat kali pertama pada 1972.

Biarpun tidak tersenarai dalam skuad ke Munich, Syed Ahmad menyarung semula jersi skuad kebangsaan pada saingan Pestabola Merdeka 1974 yang menyaksikan Malaysia muncul juara.

Malah, legenda itu meneruskan rentak sama dalam saingan Sukan Asia 1974 di Tehran yang menyaksikan skuad Harimau Malaya memenangi pingat gangsa di temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:10 PM