QUENTIN Cheng tangkas memintas bola ketika menentang  Laos. FOTO Bernama
QUENTIN Cheng tangkas memintas bola ketika menentang Laos. FOTO Bernama
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Peluang beraksi bersama skuad senior memberi 'nilai tambah' kepada pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara Quentin Cheng untuk mempamerkan corak permainan lebih konsisten di temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam.

Cheng yang juga pemain kacukan Malaysia-Australia berkata, corak permainan berintensiti tinggi ditampilkan ketika bersama pasukan Harimau Malaya membantunya lebih kental berhadapan lawan lebih kuat seperti Thailand.

"Sudah tentu ada perbezaan ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya dan B-23 kerana jurulatih masing-masing mempunyai falsafah dan teknik tersendiri untuk merencanakan pasukan.

"Saya tidak berhadapan masalah mengikuti kedua-dua corak permainan cuma perlu cepat mengikuti apa yang diinginkan oleh jurulatih," katanya.

Skuad B-23 akan turun menentang Singapura di Stadium Thien Truong esok dengan mahu memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

Ketika ini Malaysia menggungguli kumpulan B dengan enam mata selepas menumpaskan Thailand dan Laos manakala Singapura pula mengumpul empat mata untuk berada dikedudukan kedua.

Sementara itu, Cheng berkata, dua kemenangan yang diraih pasukan negara meniup semangat barisan pemain untuk mencipta lebih banyak kejayaan kelak. "Pemain sudah mula yakin terutama selepas meraih dua kemenangan sekali gus mahu menggunakan peluang yang ada beraksi di final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 5:31 PM