DARREN (kanan) ledak hatrik ketika menentang Terengganu FC. FOTO Bernama
DARREN (kanan) ledak hatrik ketika menentang Terengganu FC. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih PJ City FC, P Maniam akan terus mempertaruhkan kombinasi Darren Lok, Mahali Jasuli dan S Kumaahran dalam usaha merobek gawang skuad Sri Pahang FC malam esok.

Maniam berkata, kombinasi tiga pemain berkenaan dilihat berjaya 'meletupkan' gawang lawan dengan terbaru Terengganu FC menjadi mangsa ketajaman penggempur terbabit.

Beliau berkata, barisan pemain Sri Pahang turut harus diberikan perhatian kerana mereka hampir mengejutkan naib juara Liga Super musim lalu iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman sekali gus memberi amaran bakal menjadi pencabar sengit pasukan lain.

"Kemenangan 3-0 menentang Terengganu baru-baru ini meniup semangat pemain untuk terus mencipta keputusan positif pada perlawanan akan datang.

"Terus terang sememangnya saya agak terkejut sebab berjaya mencipta kemenangan menentang Terengganu sekali gus menunjukkan PJ City berada di landasan yang tepat.

"Semestinya semua pemain terutamanya pertahanan bermain dengan bagus sebagai satu unit dan itulah sebabnya kita tidak dibolosi, jadi saya berbangga dengan pemain yang memberikan 200 peratus semasa bermain untuk bertahan.

"Kita layak untuk menang dan Terengganu tidak boleh bermain permainan mereka sebab kita bagi tekanan terutamanya daripada tiga penyerang iaitu Darren, Mahali Kumaahran serta dua pemain tengah juga bekerja keras, jadi inilah sebabnya kita mampu menang," katanya.

Pada perlawanan esok, PJ City akan menerima kunjungan skuad Tok Gajah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya manakala dua lagi saingan Liga Super adalah membabitkan Penang bertemu Negeri Sembilan manakala KL City FC akan berentap bersama Melaka United.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 5:38 PM