MFL menjelaskan penyokong di bawah umur 12 tahun dibenarkan memasuki stadium dengan syarat ditemani atau dipantau ibu bapa atau penjaga yang sudah melengkapkan vaksinasi. FOTO ASYRAF HAMZAH
MFL menjelaskan penyokong di bawah umur 12 tahun dibenarkan memasuki stadium dengan syarat ditemani atau dipantau ibu bapa atau penjaga yang sudah melengkapkan vaksinasi. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berita gembira buat peminat bola sepak tanah air apabila tiada lagi had kapasiti kehadiran penyokong ke stadium yang ditetapkan bagi menyaksikan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkara itu dimaklumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan pembukaan sektor sukan dan rekreasi di bawah fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu.

Bermula bulan ini, penyokong dibenarkan makan dan minum di dalam stadium serta tiada had kapasiti kehadiran penyokong ke stadium.

"Namun, tertakluk kepada penjarakan fizikal yang munasabah (sekurang-kurangnya 1 meter) mengikut ruang tempat duduk dengan memakai pelitup muka," kata MFL dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan penyokong Liga M gembira dengan kelonggaran yang diberikan termasuk kebenaran makan dan minum semasa menyaksikan perlawanan di dalam stadium.

Selain itu, MFL menjelaskan penyokong di bawah umur 12 tahun dibenarkan memasuki stadium dengan syarat ditemani atau dipantau ibu bapa atau penjaga yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Pengambilan suhu badan di pintu-pintu masuk tidak diwajibkan selain tandas dan surau dibenarkan beroperasi sepanjang perlawanan dengan kawalan.

"Bagi memudahkan pergerakan penyokong, pintu keluar masuk stadium dibuka sepenuhnya dengan kawalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 5:53 PM