PENYOKONG hanya boleh makan dan minum di pekarangan stadium pada final Piala Malaysia.
PENYOKONG hanya boleh makan dan minum di pekarangan stadium pada final Piala Malaysia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Rungutan dan permintaan penyokong untuk makan dan minum ketika berlangsungnya final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November tidak dapat ditunaikan apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) kekal dengan larangan terbabit bagi membendung penularan Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam permohonan untuk kebenaran makan dan minum di stadium serta tambahan kapasiti penonton bagi aksi final itu ditolak oleh MKN.

"Melalui surat diterima oleh pihak MFL, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) telah membentangkan permohonan tersebut bagi pertimbangan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Bilangan 8 Tahun 2021 pada 16 November 2021.

"Sehubungan itu, mesyuarat memutuskan yang aktiviti makan dan minum dalam kalangan penonton atau penyokong termasuk di kotak korporat (corporate box) adalah tidak dibenarkan.

"Seterusnya, kapasiti kehadiran penonton adalah kekal seperti ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 laitu 50 peratus kapasiti tempat duduk atau 20,000 orang (yang mana lebih rendah).

"Ketetapan ini dengan mengambil kira penilaian risiko semasa dan KBS akan memaklumkan kepada MFL sekiranya terdapat perubahan daripada semasa ke semasa," katanya.

Susulan daripada keputusan MKN ini, Stuart berkata, pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang untuk menyediakan satu tapak khas bagi penjaja kenderaan saji (food truck) di pekarangan stadium untuk memudahkan penonton makan dan minum sebelum masuk ke dalam stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir itu nanti.

"MFL terpaksa akur dengan keputusan MKN ini dan kami mendengar keluhan penonton yang berharap agar mereka dibenarkan makan dan minum di dalam stadium. Namun dengan larangan ini, pihak MFL akan berusaha untuk menyediakan kemudahan makan dan minum di luar stadium sebelum penonton masuk ke dalam stadium.

"MFL bersama PSM merancang menyediakan tapak kepada penjaja 'food truck' di luar stadium untuk membolehkan penonton dapat makan dan minum dahulu sebelum menyaksikan perlawanan akhir itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 8:05 PM