Penyokong "The Red Giant" meraikan kejayaan pasukan Selangor selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Sarawak dalam aksi Piala Malaysia. FOTO File NSTP
Penyokong "The Red Giant" meraikan kejayaan pasukan Selangor selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Sarawak dalam aksi Piala Malaysia. FOTO File NSTP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Adakah penonton sudah bersedia untuk menghangatkan kembali stadium yang lebih setahun sepi?

Jika tiada sebarang halangan dan segala perbincangan dan pertemuan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berjalan lancar, awal bulan depan hampir semua stadium di negara ini kembali meriah dengan kehadiran penyokong Liga Malaysia (Liga M).

Situasi yang dilihat sudah mencapai hampir 90 peratus persetujuan dan kerjasama semua pihak turut menyaksikan 15 hingga 20 peratus penyokong diberikan kebenaran masuk ke venue berdasarkan kapasiti stadium terbabit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya kini dalam usaha untuk memperhalusi dan menambah baik standard operasi prosedur (SOP) merangkumi laluan keluar serta masuk penyokong termasuklah menentukan kedudukan mereka ketika berada dalam stadium.

Beliau berkata, perbincangan bersama pemilik kelab, KBS dan MKN akan dilakukan lebih kerap supaya semua garis panduan dipatuhi dengan menitik berat berkaitan keselamatan semua pihak.

"Kami dalam perbincangan akhir dan jika semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah, pada perlawanan keenam Liga Super dapat menyaksikan kemasukan penyokong ke stadium.

"Pada masa sama, kami tidak meletakkan syarat tertentu kepada penyokong namun kanak-kanak dan warga emas tidak digalakkan ke stadium kerana mereka adalah golongan berisiko," katanya.

Selain itu, beliau berkata, ketika saat 'genting' ini semua pihak dikehendaki mematuhi SOP dan larangan yang ditetapkan iaitu tidak berkumpul di perkarangan stadium sekali gus mengganggu proses permohonan kemasukan penyokong oleh MFL.

"Baru-baru ini, terdapat penyokong pasukan tertentu berkumpul di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan situasi berkenaan sebenarnya hampir merencatkan permohonan kemasukan penyokong ke stadium.

"Oleh itu, harap penyokong semua pasukan bersabar kerana masanya sudah dekat sahaja untuk mereka melepaskan kerinduan masuk ke stadium memberi sokongan kepada pasukan masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 3:43 PM